Jenayah

Jumpa pula pencuri motor

Shah Alam: Perbuatan bodoh seorang remaja lelaki ‘melaram’ dengan motosikal dicurinya sejak tiga minggu lalu memakan diri apabila terserempak dengan pemiliknya yang bertindak mengejar dan menahannya di Taman Sri Muda di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, suspek berusia 17 tahun menunggang motosikal Yamaha Sport bersendirian di sekitar kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pemiliknya iaitu seorang wanita berusia lingkungan 40-an bersama anak lelakinya berusia 17 tahun terkejut melihat motosikal itu menggunakan warna dan nombor pendaftaran asal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, berikutan yakin motosikal itu sama dengan yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, dua beranak itu mengejar suspek.

“Wanita yang juga pekerja kilang ketika itu menuju pulang ke rumahnya di sekitar kawasan berkenaan dan curiga melihat kelakuan suspek menunggang motosikalnya.

“Mangsa dan anak lelakinya kemudian menahan suspek lalu menghubungi Balai Polis Taman Sri Muda untuk tindakan lanjut,” katanya, di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri motosikal itu di sebuah taman perumahan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, suspek memberitahu melakukan kegiatan haram berkenaan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas dipanggil ‘Mac Mellen’.

“Usaha memburu rakan suspek itu dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Kata Shafien, pihaknya menghargai tindakan berani dan kerjasama dua beranak itu menangkap penjenayah berkenaan.

“Bagi menzahirkan terima kasih, kami akan memberi surat penghargaan kepada mereka, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada orang awam membantu polis memerangi jenayah,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");