Berita Hari Ini

KPM kaji kesediaan laksana wajib lulus Bahas Inggeris

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyediakan indikator bagi mengetahui kesediaan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, proses penyediaan indikator ini dijalankan dengan mengambil kira maklumat daripada orang ramai dan juga pihak berkepentingan termasuk guru.

“Mesyuarat dengan pakar bahasa dan pihak berkepentingan juga beberapa kali diadakan bagi mengumpul pendapat mereka bagaimana kita dapat melaksanakan syarat ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang bertanyakan hala tuju terkini pelaksanaan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM.

Sebelum ini, syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dirancang dilaksanakan mulai SPM tahun ini seiring dengan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Bagaimanapun, KPM menangguhkannya yang bertujuan memberi ruang dan peluang kepada guru dan pihak berkaitan untuk membuat persediaan lebih rapi.

Sementara itu, Kamalanathan berkata KPM sentiasa berusaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan guru bagi menjayakan pelaksanaan syarat tersebut.

Setakat ini katanya, pelbagai inisiatif dilakukan bagi membantu guru meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris antaranya program Peningkatan Profesional Kemahiran Guru Bahasa Inggeris (Pro-ELT) yang melatih 16,000 guru Bahasa Inggeris sejak 2012.

“Begitu juga program Intervensi Bahasa Inggeris yang menyasarkan guru bukan opsyen Bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran tersebut.

“Sehingga kini terdapat 976 guru telah mengambil manfaat ini,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");