Berita Hari Ini

Malaysia optimis proses pembentangan BBL diteruskan

KUALA LUMPUR – Malaysia optimis proses pembentangan Rang? Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) dapat diteruskan di bawah pentadbiran baharu Filipina.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kemenangan Rodrigo Duterte dalam pilihan raya presiden mampu membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala Malaysia-Filipina sekali gus meneruskan proses pembentangan BBL untuk diluluskan di peringkat Dewan Kongres Filipina.

Beliau berkata Duterte, 71, yang dijangka mengangkat sumpah pada 30 Jun adalah Datuk Bandar Davao City selama hampir 22 tahun. Bandar itu merupakan salah satu lokasi Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT).

IMT memainkan peranan kritikal bagi menyokong rundingan damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Davao City dianggap the bandar raya paling selamat dalam Filipina, beliau (Duterte) dikenali mengamalkan pentadbiran merakyat dan keseluruhan yang ada di Davao mengenali beliau dan beliau juga membuat kenyataan mengatakan beliau amat komited untuk meneruskan rundingan damai di Selatan Filipina selain komited membangunkan sektor pertanian di selatan negara itu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) yang ingin tahu mengenai pendirian Malaysia terhadap isu di selatan Filipina dengan kemenangan Duterte sebagai presiden.

Reezal Merican berkata Malaysia yang menerima peranan sebagai fasilitator kepada proses perdamaian kerajaan Filipina dan MILF sejak 2001, telah membawa kepada persetujuan kedua-dua belah pihak bagi penubuhan Bangsamoro melalui Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) pada 27 Mac 2014.

Lanjutan daripada perjanjian tersebut, kedua-dua pihak telah menyediakan satu draf rang undang-undang autonomi yang dipanggil Bangsamoro Basic Law (BBL), namun begitu draf tersebut walaupun telah dibawa ke Dewan Senat namun tidak dapat dipertimbangkan Kongres Filipina kerana Kongres telah berhenti bersidang pada 5 Feb 2016 bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum Filipina pada 9 Mei lepas,” katanya.

BBL bertujuan menamatkan pemberontakan oleh kumpulan pemisah di Mindanao, yang mengorbankan kira-kira 100,000 nyawa sejak 1970, dan mewujudkan Bangsamoro yang autonomi bagi membolehkan penduduk minoriti Islam di Filipina mempunyai sistem pentadbiran tersendiri.

Katanya Malaysia selaku pihak ketiga dan pemudah cara kepada proses damai akan terus memantau status pelaksanaan CAB antara pihak kerajaan Filipina dan MILF.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai pencerobohan di perairan Sabah, Reezal Merican berkata pelbagai usaha telah dilakukan bagi menangani masalah tersebut termasuk langkah terbaru iaitu mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek maritim melibatkan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

“Saya difahamkan esok adalah mesyuarat pertama peringkat teknikal untuk mewujudkan SOP di peringkat diplomasi antara ketiga tiga negara bagi memastikan kerjasama dari segi rondaan, pemantauan dan pertukaran maklumat dapat dilakukan dan mengekang kes penculikan dan keselamatan,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");