Membawang Hari Ini

Masih setia Jiwa seni Adilla

PENYANYI ini amat dikenali di era 90-an. Sementelah dia berjaya memikat hati peminat muzik tempatan ketika itu menerusi genre keroncong yang diperjuangkan.

Meski pun namanya kini tidak lagi menjadi sebutan, namun anak jati Johor Bahru ini tidak pernah patah semangat untuk bergelar seorang penyanyi.

Malah, empunya nama sebenar Fadzilah Idris ini berusaha memperjuangkan jiwa seninya itu hingga ke hari ini.

Lebih dikenali sebagai Adilla, penyanyi yang mendapat gelaran Ratu Keroncong Malaysia ini akur kehendak industri seni semasa yang lebih berjiwa muda dan urban.

Katanya, kerana itu, dia tampil dengan sebuah lagu baharu Di Mana Dia ciptaan Cat Farish yang lebih menepati selera pendengar dan peminat muzik kini.

“Sebenarnya, saya tidak sentiasa mempunyai hasrat membuat lagu-lagu atau album baharu.

“Tetapi ia terpaksa dipendamkan untuk mencari masa sesuai kerana industri kini dibanjiri penyanyi lebih moden,” katanya.

Jelas Adilla, selepas muncul dengan Gegar Vaganza musim pertama, dia yakin sdikit sebanyak dia kembali diterima dalam industri ini.

“Bagaimanapun, saya mempertaruhkan genre sedikit berbeza kali ini untuk melihat sejauh mana penerimaan mereka. Ya, saya punya pengikut tersendiri tetapi saya mahu memikat peminat baharu pula,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Di Mana Dia, katanya, ia berentak pop rock dan diselitkan dengan unsur rap.

“Menjadi trend artis lama berkolaborasi dengan artis baharu. Tetapi, selain mencuba, saya mahu berikan sesuatu yang berkualiti kepada mereka, bukan sekadar tangkap muat,” katanya.

Pada masa sama, bagi mengukuhkan kembali namanya dalam arena muzik tempatan, Adilla bakal melancarkan sebuah album.

“Album ini memuatkan lagu-lagu saya yang tidak pernah dilancarkan. Antara lagu tersebut termasuklah Di Mana Dia, Puncak Yang Satu sentuhan komposer Jari dan satu lagi masih dipilih,” katanya album itu mempunyai hanya tiga lagu.

Ujarnya, meskipun trend kini lebih selesa dengan penghasilan single, namun ia tidak mematahkan semangatnya menghasilkan album.

“Hanya album yang ringkas dengan tiga buah lagu sahaja. Saya harap ia mendapat sambutan baik daripada peminat-peminat saya.

“Ia umpama hadiah kepada mereka yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripada saya,” kata penyanyi pernah menghasilkan lima album ini.

Kecewa penerimaan industri

Ditolak kerana lagunya tidak menepati selera pendengar, kata Adilla, ia antara sebab mengapa dia memilih karya-karya lebih segar.

“Saya sangat terkesan dan kecewa apabila lagu saya pernah ditolak sebuah stesen radio untuk dikeudarakan.

“Kata mereka, lagu saya terlalu panjang dan tidak urban. Saya belajar daripada pengalaman dan itu membuatkan saya mencuba sesuatu yang baharu dan pergi lebih jauh,” katanya.

Menurutnya, meski pun genre muzik sentiasa berubah, tetapi dia berharap pihak berkenaan dapat membantu artis-artis lama.

“Sebagai artis lama, saya minta mereka beri ruang kepada kami untuk berkarya bersama-sama,” katanya.

Selain itu, pemilik Adilla Fitness Studio ini bakal meraikan peminatnya dalam majlis sambutan Hari Ibu, 15 Mei ini.

“Ini merupakan acara tetap Adilla Fitness Studio setiap tahun. Ia salah satu program saya untuk mendekatkan diri bersama peminat-peminat,” katanya.

Menariknya, pada program berkenaan, Adilla akan menyanyi secara live.

“Ia sebagai hadiah dan penghargaan kepada penyokong saya selama ini.

“Malah, jika berkesempatan saya mungkin membuat majlis pelancaran album baharu pada hari itu.

“Namun, ia masih dalam perancangan,” katanya program itu turut diselitkan persembahan nyanyian daripada anaknya.

Bercakap mengenai penglibatan anaknya dalam bidang seni, kata Adilla, dia tidak pernah menghalang minat anaknya terhadap seni.

“Mereka punya bakat dan minat, jadi saya sentiasa menyokong mereka,” katanya anaknya ada membuat video di YouTube dan salah seorang daripada mereka merupakan anak permata seni tari.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");