Membawang Hari Ini

Mila Jirin selebriti wanita bergelar usahawan

SIAPA tidak kenal kepada selebriti tempatan yang pernah menempa zaman kegemilangan pada tahun 2007 ini.

Mila Jirin sememangnya satu nama yang sudah dikenali dalam industri hiburan tanah air.

Memulakan langkah sebagai penyanyi dan pelakon, Mila kini mengembangkan sayap kejayaannya di dalam empat cabang perniagaan yang kini diusahakan bersama suami, Isz Mustapha, 37.

Bizmilla Catering menawarkan pakej lengkap perkahwinan dan katering. Bizmilla Wedding Hall yang beroperasi di Level 3, The Place @ One City Subang (dewan perkahwinan berkapasiti 1,500 pax (bufet). Bizmilla Trading yang memasarkan produk Baju Kurung MILLA secara atas talian dan butik di Tasik Prima Puchong serta Restoran Embun Urai, sebuah restoran makanan laut ala Thai yang beroperasi di Tasik Prima Puchong.

Restoran Embun Urai merupakan perniagaan pertama gadis kecil molek ini semenjak 2012 manakala Bizmilla Catering dan Bizmilla Trading memulakan operasi sejak 2014. Sementara itu, Bizmilla Wedding Hall baharu sahaja membuka lembarannya pada April lalu.

“Alhamdulillah semua perniagaan berkembang maju. Bizmilla Wedding Hall baru sahaja beroperasi pada 2016, ia tercetus apabila permintaan terlalu tinggi kepada pakej lengkap perkahwinan dewan dan dewan yang kami sewa tidak mencukupi dan akhirnya kami membuka dewan Bizmilla pada April 2016.

“Bagi produk Baju Kurung Milla pula, ia bermula atas talian selama setahun dan selepas selepas setahun, kami membuka butik di Tasik Prima Puchong. Atas permintaan yang tinggi, kami mengeluarkan baju kurung sepanjang tahun dengan fokus utama kepada cotton moden,” katanya memulakan bicara.

Berniaga seawal 19 tahun

Selepas mendirikan rumah tangga, Mila mengakui mula memperlahankan aktiviti di bidang seni. Begitu pun katanya, keinginan untuk aktif semula seperti dahulu masih menebal,

“Saya lebih fokus kepada bidang perniagaan kerana ini adalah jaminan masa depan saya dan saya jadikan bidang seni ini sebagai hobi masa lapang,” katanya.

Umum tahu, juara Akademi Fantasia ini membabitkan diri seawal usia 19 tahun dengan menubuhkan Luvmilla Corporation yang mengeluarkan produk kecantikan LUVMILA.

Bagaimana pun perniagaan itu terpaksa ditutup akibat kekurangan dana operasi dan kelemahan dari sudut pengiklanan.

“Ia perniagaan pertama saya. Pada tahun itu (2008/2009), kos pengiklanan agak tinggi berbanding sekarang, jadi kami terpaksa hentikan operasi dan menukar modul perniagaan kami kepada bidang pengurusan acara. Alhamdulillah, saya dan suami berjaya bangkit semula dan sekarang perniagaan kami makin kukuh,” katanya.

Jelas sekali, Mila seorang wanita berjiwa kental. Kegagalan pertama kali bukan penutup segala usahanya untuk berdaya saing seperti mana usahawan wanita lainnya.

“Pelbagai jenis perancangan yang kami susun untuk lebih maju ke hadapan. Insya-Allah saya dan suami juga merancang untuk terlibat dalam perniagaan hartanah tidak lama lagi.

“Kepada semua wanita di luar sana, Tiada apa yang mustahil untuk kita lakukan dengan izin ALLAH, Insya-Allah pasti boleh. Cuma, tiada perniagaan yang akan terus berjaya dalam masa yang singkat. Dalam berniaga perlu bersabar serta terus berusaha dan perlu sentiasa positif dalam menjalankan perniagaan. Ingat, Jika ALLAH dah detik hati kita untuk melakukan perniagaan, Pasti ada cara untuk memajukannya, jangan risau rezeki semua milik ALLAH. Berusaha, tawakal, berdoa dan berserah,” sambungnya lagi.

Timba ilmu dari suami

Mengakui suami sebagai orang yang bertanggungjawab mencurahkan ilmu perniagaan kepadanya, Mila berkongsi agar setiap wanita yang ingin berjaya perlu ringan mulut untuk bertanya apabila bertemu insan-insan hebat dalam perniagaan.

“Di samping itu, saya suka membaca dan menambah ilmu di internet mengenai apa sahaja yang berkaitan perniagaan dan saya akan ambil input-input yang berguna untuk diguna pakai dalam perniagaan saya.

“Dua puluh tahun yang lalu iaitu sewaktu umur saya lapan tahun, saya hanyalah seorang kanak kanak yang membesar di dalam keluarga yang sederhana dan menetap di Kampung Sungai Batu serta bersekolah di SK Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

“Seperti yang mak saya (Zarina Harun) sering beritahu, saya adalah seorang yang petah bercakap dan aktif dan saya suka bergaya dengan meminjam alat solek mak saya.

“Dan kini, saya masih Mila yang suka bercakap dan aktif, cuma sekarang saya lebih matang dan tegas,” kongsinya.

Bufet Ramadan

Mengambil kesempatan ini, Mila turut berkongsi mengenai bufet berbuka puasa yang dianjurkan Bizmilla Catering.

“Bufet ini berkonsepkan “Berbuka puasa di desa”. Menu utama yang akan disediakan adalah masakan ala kampung serta menu sampingan masakan antarabangsa. konsep Bufet akan diserikan lagi dengan warung-warung yang bakal menambahkan kemeriahan bufet berbuka puasa ini.

“Lebih 150 menu istimewa akan dihidangkan termasuk kambing golek . Kami menawarkan harga yang murah RM69+ (dewasa), untuk tempahan 10 pax ke bawah dan RM55+ (dewasa) untuk tempahan 11 pax dan ke atas. Bagi tempahan berkumpulan pula hanya RM50+ untuk 100 pax dan ke atas. Dewan yang berhawa dingin dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang makan yang selesa dan ruang solat yang besar untuk solat sunat terawih berjemaah, tempat letak kereta yang banyak serta persembahan istimewa daripada kumpulan tradisional ghazal akan diadakan pada setiap hari,” katanya.

Kepada pembaca yang ingin mendapatkan baucar bufet berbuka puasa dari Bizmilla Catering, boleh mendapatkannya secara online dengan melayari www.bizmillacatering.com/bukapuasa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");