Berita Hari Ini

Negara ada kepakaran tapi…

SHAH ALAM – Rakyat negara ini mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu namun mereka enggan untuk melabur masa bagi memperoleh manfaat menerusi kebolehan yang dimiliki, kata Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin.

Menurut beliau, sebilangan rakyat di negara ini tidak mempunyai visi dalam bidang pekerjaan yang dilakukan oleh mereka dan hanya memikirkan cara cepat untuk meraih pendapatan bulanan yang tinggi.

“Negara kita mempunyai rakyat yang ada kepakaran dalam bidang tertentu namun mereka enggan untuk melabur masa dan tidak bersabar untuk meraih pendapatan yang lebih.

“Sebilangan rakyat tidak mahu memanfaatkan kebolehan yang mereka miliki dan menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil tenaga kerja dari luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Amir berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang memaklumkan bahawa kerajaan sewajarnya memanfaatkan kepakaran yang dimiliki oleh rakyat bagi memajukan negara ini.

Dalam pada itu, Amir memaklumkan bahawa kerajaan telah cuba membantu rakyat negara ini dengan menyediakan pelbagai inisiatif bagi membolehkan mereka menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk membangunkan Malaysia.

“Namun dalam konteks Malaysia, perkara itu tidak wujud kerana rakyat tidak mahu memanfaatkan peluang yang diberikan tersebut.

“Dalam hal ini kerajaan tidak salah sebab mereka telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu rakyat namun ia adalah atas kehendak individu itu sendiri sama ada dapat menggunakan peluang itu sebaiknya atau tidak,” katanya.

Tambah beliau, bagi mengatasi permasalahan ini, kerajaan sewajarnya menganjurkan kempen kesedaran buat masyarakat bagi membuka mata mereka tentang peluang yang telah disediakan oleh kerajaan dalam menggunakan kepakaran tempatan untuk membangunkan negara ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");