Membawang Hari Ini

Panas babak pertikaman lidah

Konsert Gempak Superstar minggu keempat yang disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dari Pinewood Studios Iskandar, Johor, panas dengan babak pertikaman lidah membabitkan penasihat vokal dan pengarah muzik, Datuk Ramli MS dengan juri tetap, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.

Biarpun bersetuju dengan apa yang dikatakan Ogy, Ramli menegur aktres dan pengarah berpengalaman ini kerana mengeluarkan intonasi yang kurang sesuai dalam memberikan komen terhadap peserta.

Ogy pula sebaliknya mempertahankan tindakannya dan ini menjadikan suasana agak gamat dengan sorakan peminat yang hadir terutama kelab peminat Siti Elizad yang kurang berpuas hati dengan tindakan Ogy mengkritik artis kesayangan mereka.

Bagaimanapun, ia berjaya diredakan oleh pengacara Scha Alyahya yang menjalankan tugas mereka dengan baik.

Minggu keempat bertemakan medley ini menyaksikan penyingkiran Raja Ilya dan Izreen Azminda untuk meneruskan cabaran ke persaingan seterusnya.

Kedudukan carta Gempak Superstar diungguli Elizad dengan markah 52 peratus, Sofi Jikan (51 peratus), Arja Lee (47 peratus), Sherry Ibrahim (41 peratus), Nazim Othman (39 peratus), Raja Ilya (34 peratus) dan Izreen (33 peratus).

Ditemui pada sidang media yang diadakan, Raja Ilya mengakui dia menyangkakan tiada penyingkiran pada minggu ini dan melakukan persembahan seperti biasa.

“Pada saya setiap minggu konsert ini dilalui dengan debaran. Kami sudah lakukan yang terbaik dan ia bergantung kepada undian penonton dan penilaian juri.

“Yang penting, sama ada masih berada dalam Gempak Superstar atau tidak, kami akan terus berada dalam industri seni tempatan,” katanya.

Raja Ilya turut bersetuju seperti yang dikatakan Ramli bahawa dia bukan seorang penyanyi.

“Saya tidak meletakkan diri sebagai orang lain. Saya sedar, saya bukan mempunyai vokal yang bagus dan kemampuan bertahan sehingga minggu keempat sudah dikira bagus.

“Apa yang penting, saya sedar kena tingkatkan populariti dalam kalangan peminat kerana undian mereka juga memainkan peranan penting,” katanya yang mengakui tidak ambil hati dengan kiritikan juri terhadapnya.

Persembahan Izreen menerima kritikan keras daripada Ogy yang menyifatkannya seperti beraksi di ‘funfair’. Bahkan juri undangan Michael Ang juga mengatakan ia persembahan terburuk daripada Izreen.

Tanpa berselindung Izreen jujur mengakui kecewa dengan penyingkirannya daripada Gempak Superstar.

“Masa yang diberikan untuk saya buat persediaan terlalu singkat iaitu hanya dua hari. Saya tidak fikir seorang penyanyi mampu buat tugasan begitu.

“Apa-apa pun saya terima kerana rezeki saya hanya setakat ini. Namun, saya tetap berpuas hati kerana sudah buat yang terbaik untuk peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Izreen mengakui komen juri sedikit sebanyak memberi kesan sehingga mempengaruhi undian peminat.

“Tipulah kalau saya kata kritikan tajam tidak menikam perasaan kami. Kalau ikutkan kami sudah dikenali apabila masuk bertanding dan tidak perlu memberikan komen yang agak keras.

“Lainlah jika kami masih baru seperti peserta Akademi Fantasia, barulah wajar kritikan begitu dikeluarkan,” katanya.

Bagi Elizad pula, biarpun mengungguli kedudukan teratas, dia tetap sedih kerana rakan baiknya sudah tersingkir daripada persaingan.

“Cuma saya gembira kerana minggu lalu agak ‘down’ dengan kritikan juri. Betul kata Izreen, apabila juri tegur dengan cara berhemah, kami boleh menerimanya dengan baik.

“Perasaan tekanan saya berterusan sejak habis konsert minggu lalu dan berterusan sehingga sebelum konsert minggu ini.

“Mujurlah kami dapat tenaga pengajar yang ‘sporting’ dan memahami. Saya sendiri sudah buat yang terbaik dan jika terkeluar pun pasti akan puas hati,” katanya.

Elizad mengakui gagal hadir ke kelas lakonan kerana terbabit dengan penggambaran drama. Akibatnya dia gagal beraksi dengan baik pada konsert minggu lalu sehingga mengundang kritikan keras Ogy.

“Ini drama untuk hari raya dan jadualnya sudah disusun sebelum saya menyatakan persetujuan untuk menyertai Gempak Superstar.

“Pada saya, juri memang berhak untuk menegur. Cuma kalau menggunakan cara yang lebih mendamaikan perasaan, itu lebih baik,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");