Berita Hari Ini

Pinda Awas ubah sikap pemandu

TANGKAK – Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) yang bakal dilaksanakan di negara ini akan dipinda bagi memastikan tujuan pelaksanaannya tercapai.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, sistem berkenaan akan diperhebat iaitu dengan menguatkuasakan kadar kesalahan baharu agar ia selari dengan perkembangan semasa.

“Kesalahan menggunakan telefon bimbit akan dikuat kuasa bagi membendung tabiat itu. Ini kerana jika dilihat, gejala penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pemandu semakin berleluasa.

“Hal ini perlu diatasi kerana ia bukan saja membahayakan nyawa pemandu berkenaan, malah melibatkan pengguna jalan raya lain juga,” katanya kepada pemberita pada sidang media, selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya bersama Kolej Komuniti Ledang Johor di sini, semalam.

Sistem Awas adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Menurut Abd Ghafar, sistem Kejara yang diperkenalkan pada 1984 sebelum ini hanya mengandungi beberapa kadar kesalahan seperti memandu laju, memotong di garisan berkembar serta tidak mematuhi lampu isyarat.

“Ketika sistem Kejara diperkenal sebelum ini, penggunaan telefon bimbit masih belum meluas seperti hari ini. Jadi, cadangan menguatkuasakan larangan telefon bimbit dalam sistem ini amat sesuai dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Ghafar juga berkata, kesan pelaksanaan sistem Awas yang akan dikuatkuasakan kelak dilihat sangat relevan bagi mengubah sikap pemandu.

Katanya, sistem baharu tidak akan mengurangkan mata demerit pemandu dengan hanya menjelaskan bayaran saman seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dikumpulkan sehingga lesen mereka digantung.

“Sebagai contoh, sebelum ini pemandu boleh pandu laju dengan sesuka hati walaupun terdapat banyak kamera dipasang sepanjang jalan kerana mereka tiada masalah membayar saman dikeluarkan.

“Namun, dengan wujudnya Awas, mereka lebih berhati-hati dan patuhi peraturan kerana tidak mahu lesen digantung,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Abd Ghafar berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran kepada penunggang motosikal khasnya kerana golongan itu merupakan penyumbang utama kematian akibat nahas jalan raya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan topi keledar kepada 10 pelajar Kolej Komuniti Ledang.

Turut hadir, Pengarah JKJR negeri, Maisara Ashran Mustafa, Pengarah Kolej Komuniti Ledang, Jamalluddin Mohd Ali dan Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah, Azmil Zainal Adnan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");