Jenayah

Polis cedera disimbah asid

Chukai: Seorang anggota polis cedera di muka, telinga, bahu dan tangan akibat direnjis cecair dipercayai asid oleh seorang lelaki ketika serbuan Ops Tapis Narkotik di sebuah rumah di Tanah Lot Kemasek, di sini, semalam.

Mangsa, Lans Koperal Mohd Haikal Zaharuddin, 27, dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kini dirawat di Hospital Kemaman sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek berusia 27 tahun yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dengan terjun dari rumah sebelum bertindak merenjis cecair yang ada di dalam botol dipegangnya ke arah muka, telinga dan tangan mangsa dalam serbuan kira-kira jam 2.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebaik terkena renjisan itu, mangsa menggelupur kesakitan sebelum anggota yang lain bertindak mengejar suspek yang dilihat membuang sesuatu objek menggunakan tangan kanan.

“Suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dan pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek tidak menemui apa-apa barangan salah sebelum polis mengarahkan suspek mengambil semula objek iaitu sebuah beg kecil yang dibuangnya sebelum ini.

“Pemeriksaan terhadap beg kecil berkenaan menemui satu paket plastik cerah mengandungi 20 biji pil warna merah, satu paket plastik cerah berisi pepejal kristal serta satu paket plastik cerah berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah.

“Polis turut merampas satu botol kaca berisi cecair disyaki asid yang direnjis kepada mangsa sebelum suspek dan barang kes dibawa ke IPD Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");