Perak Hari Ini

PRK Kuala Kangsar : BN Tidak Ambil Pendekatan Keterlaluan

IPOH : Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil pendekatan yang keterlaluan dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar yang dijangka akan berlangsung pada 18 Jun depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak merangkap Pengarah PRK Kuala Kangsar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN akan memberi fokus terhadap gerak kerja yang mantap dan tidak akan memberi ruang kepada perkara yang remeh.

“Kita hanya fokus kepada kerja kita dan tidak akan mengambil pendekatan keterlaluan untuk bermain dengan sentimen-sentimen politik yang tertentu.

“Paling penting ialah kita ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan disiplin gerak kerja yang kita ada, itulah yang akan memberikan kemenangan kepada kita,”ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry yang juga Menteri Besar Perak turut berkata, BN akan memberikan gerak kerja yang sama ketika menghadapi PRK Teluk Intan pada tahun 2014 dan mungkin terdapat terdapat sedikit kelainan.

Ujarnya, memandangkan PRK pada kali ini diadakan pada bulan Ramadan, pendekatan yang diamalkan oleh BN tentunya lebih berhemah.

“Rakyat tidak suka mendengar cacian atau fitnah yang dilemparkan dan sememangnya, pendekatan yang diambil oleh BN, kita tidak akan lakukan perkara yang sedemikian.

“Saya telah meminta kepada semua jentera kita supaya mengelakkan bermain pendekatan ala pembangkang ini dan lebih baik kita gunakan pendekatan bagaimana kita boleh menjadi pilihan yang baik kepada rakyat,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BN akan melihat perkara-perkara yang telah disusun oleh Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad bagi Parlimen Kuala Kangsar.

“Beliau (Wan Khair-il) pernah berbincang dengan saya sebelum ini tentang visi untuk Kuala Kangsar dan juga beberapa perkara yang telah beliau janjikan. Perkara-perkara inilah yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minta kepada saya untuk diselaraskan.

“Apa yang kita ingin lakukan adalah dengan menyelaraskan perkara-perkara yang Allahyarham telah maklumkan serta janjikan dan inilah yang akan kita lakukan,”jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");