Perak Hari Ini

PRK Kuala Kangsar: Penyokong Jangan Timbulkan Provokasi – SPR

KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati penyokong-penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kuala Kangsar yang datang dari luar kawasan agar tidak menimbulkan provokasi.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mereka seharusnya lebih menghormati masyarakat setempat.

“Maknanya kita tidak mahu orang luar yang datang ini, dia pula yang akan membuat provokasi pada masyarakat setempat.

“Kena ingat, kekosongan ini merupakan peristiwa (bekas ahli Parlimen yang terkorban akibat nahas helikopter di Sarawak)..keadaan yang sedih kepada keluarga yang terlibat.

“Oleh itu, kena ambil ikhtibar, kena hormat keluarga,  masyarakat Kuala Kangsar dan jangan timbulkan provokasi di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Bagi Menghadapi PRK P.067 Kuala Kangsar, Perak di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga berharap kepada semua parti-parti yang bertanding supaya dapat berkempen secara berhemah, menghormati bulan Ramadan menyentuh perkara sensitif, menfitnah dan menyentuh perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya berharap masyarakat di Kuala Kangsar ini dapat berkempen secara setia kawan dan  tidak berlaku fitnah menfitnah antara satu sama lain.

“Saya juga berharap, proses berkempen dan pengundian di Parlimen Kuala Kangsar ini diantara yang terbaik supaya dilihat negeri Perak ini negeri yang aman damai dan sentiasa ke hadapan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 32,949 pemilih adalah layak mengundi pada hari pengundian 18 Jun ini.

“32,632 adalah pengundi biasa, 312 orang adalah pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya lagi

Tambahnya, beliau juga meminta kepada semua pengundi di Kuala Kangsar untuk membuat semakan lebih awal untuk mengetahui dimana mereka akan mengundi supaya tidak berlaku kekecohan pada hari pengundian.

“Ia memandangkan terdapat daerah-daerah baru yang diwujudkan bukan untuk di kuala kangsar sahaja tetapi juga seluruh tanah melayu yang mana kita gazetkan sempena melaksanakan persempadanan semula Negeri-Negeri Melayu.

“Jadi pusat pengundiannya mungkin ada yang berubah tetapi masih ada di dalam parlimen yang sama kecuali daerah mengundi yang sebelum ini terkeluar daripada parlimen ini, yang itu terpaksa dibetulkanlah, kalau ada,” jelasnya.

Jelasnya, pihak SPR akan menyediakan tempat-tempat semakan dan juga akan membuat semakan seperti biasa di laman web SPR di www.spr.gov.my atau melalui talian 038892700 atau 052494113 atau melalui sms dengan menaip SPR<jarak>semak<jarak>nombor kad pengenalan dan hantarkan kepada 15888.

Terdahulu, kerusi bagi Parlimen Kuala Kangsar kosong setelah penyandangnya, Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei yang lalu.

Turut terkorban ialah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon bersama empat individu lain.

Sehubungan dengan itu, SPR telah menetapkan bahawa PRK bagi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun 2016.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");