Panasnya Hari Ini

PRK Sungai Besar: Pakatan Harapan Perlu Letak Calon Walau 3 penjuru

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan perlu meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang dijangka akan diadakan pada 18 Jun depan meskipun ia menjadi pertarungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata suara akar umbi partinya itu jelas menolak calon PAS sebagai wakil pembangkang untuk melawan BN.

“Saya telah mengunjungi kawasan parlimen Sungai Besar dan bersesi dialog dengan akar-umbi cawangan-cawangan DAP di pekan Sungai Besar dan Sekinchan pada hari Ahad yang lalu.

“Suara akar-umbi yang mencerminkan kehendak penyokong parti terutamanya di kawasan perbandaran adalah jelas. Mereka tidak akan, dan tidak mahu menyokong parti PAS sebagai wakil pembangkang melawan BN.

“Malah, ada yang menyebut bahawa kalau terpaksa undi antara BN dan PAS, ada kemungkinan mereka akan memilih BN atas kekecewaan terhadap PAS. Mereka menganggap bahawa PAS telah mengkhianati undi mereka pada pilihanraya yang lalu kerana mereka telah mengkuburkan Pakatan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya lagi, sebaliknya, Hadi berkata bahawa Najib perlu terus diberikan peluang untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri dan PAS hanya ingin menjadi ‘penasihat’ kepada UMNO-Barisan Nasional.

“Oleh sebab itu, adalah wajib supaya Pakatan Harapan diwakili dalam pilihanraya kecil ini supaya penyokong Pakatan Harapan yang begitu ramai dapat memilih parti yang benar-benar menentang kerajaan BN yang rakus dan rasuah.

“Akibat keengganan Presiden PAS untuk berunding dengan Datuk Seri Azmin Ali, cadangan PKR untuk meletakkan calon PKR di Sungai Besar bagi memastikan pertarungan satu-lawan-satu tidak akan terjadi,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, DAP Selangor akan memberikan sokongan seratus-peratus kepada calon Parti Amanah Negara yang mewakili Pakatan Harapan dalam pemilihan tiga-penjuru di Sungai Besar.

“Walaupun ada pihak yang bimbang bahawa pemilihan tiga-penjuru berkemungkinan melemahkan undi pembangkang, kami percaya bahawa pengundi yang pintar akan tetap memberikan undi kepada Pakatan Harapan.

“Ini adalah kerana hanya gabungan politik Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah mampu dan berpeluang untuk menewaskan BN dalam pilihanraya.

“Manakala PAS, secara tersendiri, tiada kemungkinan langsung untuk menubuhkan kerajaan. Oleh itu, pengundi Sungai Besar tidak akan membazirkan undi kepada parti yang tiada berkemampuan untuk membentuk kerajaan untuk mengganti BN,” jelasnya.

Tony turut yakin bahawa dengan satu kempen yang berfokus dan cergas, Pakatan Harapan akan dapat memikat hati pengundi dan mencapai satu kemenangan pilihanraya kecil bersejarah yang akan menggempar bumi politik Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");