Panasnya Hari Ini

PRN Sarawak: Guan Eng Janji Keluar Dari Sarawak Menjelang Khamis

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan bahawa beliau tidak akan meminta Ketua Menteri Sarawak memberi masa lebih panjang kepadanya untuk tinggal di Sarawak.

Beliau yang dipetik Free Malaysia Today berkata, ini kerana beliau tidak mahu tunduk kepada penyalahgunaan kuasa Tan Sri Adenan Satem yang mengehadkan masanya di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan meninggalkan Sarawak menjelang Khamis ini, seperti yang diarahkan Jabatan Imigresen Sarawak.

“Jangan risau, saya akan pergi sebelum 5 Mei kerana saya hormat kuasa autonomi Sarawak,” katanya ketika turun padang melawat pasar pagi Padawan, di Kuching, hari ini, lapor Free Malaysia Today.

Ujarnya, pemimpin-pemimpin pembangkang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang diambil terhadap penyalahgunaan kuasa Adenan yang menghalang atau mengehadkan masa mereka di Sarawak.

Namun begitu, pada masa ini, jelasnya, mereka hanya boleh patuh kepada arahan itu disebabkan kekangan masa sekalipun tidak rela berbuat demikian.

“Undang-undang membenarkan rakyat memasuki Sarawak untuk melakukan aktiviti politik. DAP mempunyai calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan aktiviti-aktiviti politik kami adalah untuk membantu kempen mereka.

“Kami akan cabar penyalahgunaan kuasa Adenan di mahkamah dan kami akan pertimbangkannya selepas pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, pada 29 April lalu, Guan Eng telah memuat naik gambar pas lawatan (sosial) beliau ke Twitter yang menunjukkan beliau hanya dibenarkan berada di Bumi Kenyalang sehingga 5 Mei ini.

Selain Guan Eng, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga dilaporkan hanya dibenarkan berada di Sarawak sehingga 2 Mei, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga 5 Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");