Perak Hari Ini

Program Permukiman Daerah Kerian Diteruskan

IPOH: Program permukiman daerah Kerian yang dijadualkan pada 17 Mei sehingga 21 Mei ini akan diteruskan mengikut seperti apa yang dirancang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ujar Zambry, program permukiman bukanlah satu program berbentuk pesta atau karnival, sebaliknya ia adalah program yang dirancang untuk pihak kerajaan negeri turun ke bawah bagi memahami dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya percaya dalam konteks daerah Kerian sendiri, ianya mempunyai pelbagai perkara selain daripada perkara yang dihadapi oleh pesawah.

“Ada pelbagai isu yang perlu kita tangani sama ada perkara berkaitan dengan urusan pentadbiran, urusan yang berkaitan dengan pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi,”katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat bersama Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali menyarankan agar program permukiman di daerah ini ditangguhkan kepada satu tarikh bersesuaian.

Sham berkata, penangguhan itu bertujuan untuk menghormati keadaan rakyat di daerah Kerian pada masa kini yang agak terkesan dengan isu bekalan air Empangan Bukit Merah kritikal terutama golongan pesawah.

Zambry berkata, pemilihan Kerian sebagai daerah untuk permukiman telah diputuskan sebelum timbul masalah tersebut.

“Pemilihan daerah Kerian telah diputuskan beberapa bulan yang lalu sebelum perkara ini timbul dan kita akan teruskan tetapi terdapat pengubahsuaian dan memberi fokus terhadap perkara-perkara yang dihadapi oleh rakyat,”kata Zambry.

Ujar Zambry, beliau menghormati pandangan dan pendapat daripada wakil rakyat di Kerian, namun inilah waktu yang tepat bagi kerajaan negeri turun beramai-ramai termasuk wakil rakyat di sana.

“Inilah waktu untuk kita turun beramai-ramai baik wakil rakyat mahupun pihak kerajaan negeri untuk kita bersama-sama berada disana sebagai menunjukkan kebersamaan dan keprihatinan kita terhadap masalah yang ditanggung oleh rakyat di Kerian.

“Sekiranya terdapat sebarang permasalahan, kita akan bersama-sama dengan pihak yang berkaitan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi,”ujarnya.

Terdapat 121 program telah dirancang yang melibatkan kesemua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dalam program permukiman daerah Kerian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");