Jenayah

‘Puteri’ Iran tidur lokap kerana kes tipu

PORT DICKSON: Seorang wanita yang menggelar dirinya puteri keturunan raja dari Iran di tahan polis selepas didapati terlibat dengan kes penipuan dan melanggar Akta Imigresen.

Suspek berusia 59 tahun itu juga mendakwa dirinya adalah pegawai diplomatik di tahan di sebuah hotel di Batu 9 Jalan Pantai sekitar jam 12 tengah hari Jumaat lalu dan kini di reman selama dua minggu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan dilakukan hasil risikan polis dan maklumat awam itu, polis juga menahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga bukan rakyat tempatan dipercayai pembantu kepada wanita berkenaan dalam menjalankan kegiatan penipuan tersebut.

Menurutnya, polis percaya kedua-dua suspek ini terlibat dengan kegiatan menipu membabitkan wang tunai melibatkan mangsa tidak kurang daripada 200 orang terdiri daripada warganegara asing antaranya Indonesia, China, Singapura dan Turki.

“Siasatan awal polis mendapati, suspek membuat tawaran melalui internet kepada mana-mana individu untuk menjadi peserta kepada seminar yang dianjurkan dengan bayaran sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapatkan dana berjumlah sekurang-kurangnya RM6,000 untuk disalurkan kepada warga miskin.

“Istimewanya, individu yang telah menyertai seminar dan membuat pembayaran, individu berkenaan akan diberikan dokumen menyerupai pasport yang kononnya membolehkan individu itu pergi atau masuk ke mana-mana negara di bawah lambang PBB dan UN.

“Melalui modus operandi itu, polis yakin, mangsa penipuan ini adalah terdiri daripada golongan profesional dan wakil-wakil masyarakat yang mencari sumbangan dana kebajikan warganya.

“Polis percaya, suspek telah aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak pertengahan 2014 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Zainudin Ahmad.

Adzli berkata, serbuan yang dilakukan polis bersama Jabatan Imigresen juga mendapati suspek wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek wanita mendakwa dia merupakan pegawai diplomatik mewakili United Nation (UN) dan bergerak di di bawah program IMU, International Money Unit iaitu kendalian PBB yang menyalurkan dana untuk tujuan membantu golongan miskin di seluruh dunia.

“Namun siasatan polis mendapati, IMU tidak wujud dan ia hanyalah satu lagi penipuan yang dilakukan suspek. Suspek juga berkeras untuk dirinya dipanggil puteri,” katanya.

Adzli memberitahu, jenayah yang dilaksanakan adalah jenayah licik dan cukup terancang.

“Ini termasuklah ketika mengendalikan seminar, suspek akan mengenakan pakaian uniform lengkap seperti pihak berkuasa termasuklah memakai lencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Turut diadakan adalah acara perbarisan hormat dan sebagainya.

“Polis telah menghubungi kedutaan negara kedua-dua suspek dan pihak berkenaan menafikan tentang mereka adalah pegawai diplomatik.

“Kita percaya, suspek mensasarkan warga asing sebagai mangsa bagi menyukarkan atau mengelakkan mangsa ini kembali menuntut penipuan yang dilakukan itu.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ada rakyat tempatan yang turut menjadi mangsa penipuan kes ini.

“Justeru itu, mana-mana individu yang pernah ditandatangani ataupun menjadi mangsa penipuan kes ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Matilda Sanggat di talian, 014-898 2019,” katanya.

Adzli menambah, dalam serbuan itu, polis juga merampas pelbagai dokumen palsu antaranya 990 dokumen menyerupai pasport dan 12 dokumen menyerupai pasport yang telah mempunyai penama, dokumen diplomatik, pakaian uniform, komputer riba, cop bertulis UN,EU, WHF dan community corps diplomatic international, dua keping surat atas nama Puteri Edwige Vicent dan mesin pencetak.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 61 Akta Imigresen, Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");