Membawang Hari Ini

Rezeki Semakin Murah, Fasha Sandha Anggap Rezeki Anak

KUALA LUMPUR: Pelakon Fasha Sandha menganggap tawaran lakonan dan sebagai duta produk diterimanya pada tahun ini adalah rezeki dua anaknya, Putra Rayfal yang berusia dua tahun dan Putri Raysha Jemyma setahun.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, berkata, jadual seninya padat sehingga penghujung tahun ini dan sebagai ibu tunggal dia perlu bekerja keras demi anak-anaknya.

“Alhamdulillah rezeki saya pada tahun ini memang murah malah jadual pun padat sehingga penghujung tahun ini.

“Pada saya ini adalah rezeki Allah untuk anak-anak saya dan kerja keras saya adalah demi mereka berdua,” katanya kepada mStar Online.

Fasha mengutamakan anak-anaknya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis prebiu media Syukur Selalu Ramadan TV3 dan TV9 2016 di Hotel Le Meridien di sini, Selasa.

Pelakon itu turut dipilih sebagai duta Syukur Selalu disamping Uqasha Senrose, Amar Asyraf, Fattah Amin, Hafidz Roshdi, Janna Nick dan Raja Afiq.

Dalam pada itu, Fasha berkata, walaupun sibuk dengan karier seninya dia akan memastikan keutamaan diberikan kepada Rayfal dan Jemyma selain keperluan sentiasa terjaga.

Malah kata Fasha, dia akan mengambil cuti sehari setiap minggu untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan anak-anak.

“Sesibuk mana pun saya, anak-anak adalah keutamaan saya dan Alhamdulillah tawaran yang datang pun selalunya diberikan lebih awal jadi saya boleh rancang masa bersama mereka,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai peranannya sebagai duta Syukur Selalu, Fasha berkata, dia akan giat melakukan promosi yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan dan Syawal di stesen TV3 dan TV9.

Malah kata Fasha, dia akan terbabit dalam beberapa siri program jelajah iaitu Bazar Syukur Selalu yang akan diadakan di Kedah dan Johor manakala Jom Masjid di Perak dan Melaka.

“Selain program turun padang saya juga turut tampil dalam iklan pendek Amal Jariah yang memaparkan kesulitan saya berhadapan dengan kerosakan kereta dalam perjalanan pulang ke rumah menjelang waktu berbuka puasa.

“Beberapa drama bersiri dan telefilem bertemakan Ramadan lakonan saya bakal ditayangkan di TV3 pada bulan puasa nanti,” katanya.

Antara drama lakonan terbaharu Fasha adalah Bibik-Bibikku selain bakal muncul dalam filem Anak Mami Nasi Kandaq yang bakal menemui penonton pada 1 Syawal nanti.

Selain itu, filem Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus bakal menyusul pada 14 Syawal.

Dalam perkembangan lain, Fasha bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Lara Aishah sebanyak 100 episod selain sibuk dengan tugasnya sebagai duta minyak wangi Fasha Sandha by D’Haja.

Pelakon itu turut dilantik sebagai duta Johor Grandeur Fiesta bersempena Jualan Mega Johor 2016 dan Tahun Melawat Johor 2017.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");