Jenayah

Sayu anak tidak sempat graduasi

MACHANG – Jika ibu bapa lain tersenyum gembira pada majlis konvokesyen anak-anak yang dianggap cukup bermakna dan bersejarah, sebaliknya pula dirasainya pasangan Wan Ali Wan Dibak, 53, dan isterinya, Rabiah Ngah, 49.

Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-84 di Kampus Machang di sini, kelmarin, meninggalkan kenangan menyentuh perasaan apabila anak disayangi tidak dapat bersama-sama meraikan kejayaan itu.

Anak mereka, Wan Muhammad Hafiz Wan Ali yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian Kewangan) kelas pertama meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 18 April lalu.

Wan Ali berkata, anak kedua daripada 11 beradik itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Katanya, sebelum ini, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda dia sakit, namun sebelum dimasukkan ke hospital, dia mengalami batuk selama seminggu sehingga sesak nafas sebelum disahkan meninggal.

“Hati siapa tidak sedih, namun kami menerima takdir ini dengan reda dan berharap kejayaan Allahyarham menjadi dorongan buat adik-adiknya pada masa akan datang.

“Allahyarham adalah seorang anak yang rajin dan kami amat merasai kehilangannya kerana dia sangat periang di antara adik-beradik lain,” katanya.

Sementara itu, Rabiah berkata, sebagai seorang ibu, dia gembira dan berbangga dengan pencapaian Allahyarham anaknya itu.

“Dia baru saja bekerja sebagai Pegawai Bank di Bank Rakyat di Kuala Terengganu pada Disember tahun lalu dan teruja menanti konvokesyen ini.

“Sebelum ini, Allahyarham ada merancang pakai pakaian sama warna dengan saya dan suami pada hari konvokesyennya, namun segala perancangan itu tidak sempat dibuat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");