Berita Hari Ini

Sewa beli rumah bantu rakyat tiada pendapatan tetap

TASEK GELUGOR – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan menawarkan program sewa beli rumah bagi membolehkan penduduk Pulau Pinang yang tidak mempunyai pendapatan tetap memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata, program itu juga bagi membantu pemohon yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman perumahan dengan bank terutama generasi muda.

“Program ini adalah bagi membantu mereka (permohonan) yang ditolak bank, kadang-kadang yang tiada pendapatan tetap atau rekod tidak berapa elok. Ia hanya untuk rumah kos rendah iaitu RM60,000 dan ke bawah.

“Penyewa yang layak mengikuti program itu akan membayar sewa terus kepada pihak Perda antara RM200 hingga RM300 setiap bulan sehingga 15 dan 20 tahun, selepas itu rumah itu akan menjadi milik mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ekonomi Kecil di sini, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata untuk permulaan Perda akan menawarkan 100 unit rumah kos rendah di kawasan Ara Kuda yang telah siap dibina.

“Sekarang ini Perda sudah ada rumah untuk program itu cuma dalam perbincangan peringkat akhir untuk kaedah-kaedah pertadbiran seperti untuk kutipan dan cara sewaan,” kata Shabudin.

Katanya Perda juga mempunyai tujuh lagi projek yang ada rumah kos rendah termasuk di Teluk Kumbar dan Sungai Pinang di Balik Pulau, serta di daerah Seberang Perai Utara yang sedang menunggu kelulusan merancang.

Sementara itu katanya rumah yang telah disewa kepada ibu atau bapa boleh diwarisi oleh anak-anak jika mereka meninggal, namun bayaran mestilah dibuat secara konsisten.

Dalam perkembangan lain Shabudin berkata Perda memperuntukkan RM251,890 untuk diagihkan kepada 71 peserta Bantuan Ekonomi Kecil sepanjang tahun ini bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya sasaran program itu adalah membantu golongan miskin tegar meningkatkan pendapatan dengan memberikan latihan kemahiran dan bantuan peralatan agar mereka dapat meningkatkan kualiti serta kuantiti produk.

“Seramai 830 peserta program itu menerima bantuan bernilai dari RM5,000 sejak 2007 hingga tahun lepas dan 80 peratus daripada mereka berjaya meningkatkan pendapatan serta keluar dari garis kemiskinan,” katanya.
– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");