Membawang Hari Ini

Shukri enggan ‘mewahkan’ anak

Jika dihitung, tinggal tiga bulan sahaja lagi isteri kepada pelakon Shukri Yahaya akan melahirkan anak sulung mereka.

Menurut pelakon drama Dia…Isteri Luar Biasa ini, isterinya yang juga pelakon filem Ular, Siti Nurfatihah Ahmad Adnan, 24, atau Tya Adnan dijangka bersalin pada hujung Ogos nanti.

Shukri, 28, berkata, setiap hari dia semakin berdebar dan teruja menunggu kelahiran bayi yang dijangka perempuan itu.

Pada masa sama, Shukri tidak mahu terlalu memewahkan anak mereka yang bakal lahir sebaliknya memilih untuk lebih bersederhana.

“Memandangkan ini anak sulung, saya tidak boleh menyembunyikan rasa teruja itu. Cuma, dalam pada berasa terlalu teruja, saya banyak belajar daripada pengalaman orang sekeliling terutama dalam penyediaan barang keperluan anak.

“Saya sudah melihat banyak contoh daripada rakan yang keterujaan mereka itu membawa kepada wujudnya pembaziran. Perkara itu yang saya cuba elakkan bermula dari sekarang.

“Bagi saya, jangan membeli semua kelengkapan untuk anak yang baru lahir secara serentak. Kalau boleh rancang perbelanjaan dengan sebaik-baiknya. Lebih bagus sekiranya perkara itu dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Menurut Shukri, dia dan isteri sudah menyediakan beberapa keperluan asas anak yang bakal lahir.

“Walaupun kami sudah mengetahui jantina anak, tetapi kami membeli mengikut keperluan. Tidak perlu berhabis dalam tempoh yang singkat apatah lagi anak itu masih kecil.

“Apa yang saya lebih utamakan sekarang adalah memilih hospital untuk isteri bersalin, perkara yang perlu dilakukan selepas bersalin dan keperluan anak itu sendiri,” katanya.

Pelakon drama Suami Tanpa Cinta ini turut mengakui sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai bapa.

Malah, Shukri juga berjanji mengurangkan aktiviti melepak bersama rakan.

“Tanggungjawab baru ini membuatkan saya menjadi lebih matang. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu mengambil kira pendapat isteri. Berbanding ketika zaman bujang dahulu, segalanya atas kehendak diri sendiri.

“Dari segi pergaulan seperti melepak dengan rakan juga perlu dikurangkan. Saya percaya, kehadiran cahaya mata itu akan mengubah sikap seseorang secara perlahan-lahan,” katanya.

Berkongsi mengenai keadaan Tya, Shukri berkata, isterinya turut mengalami alahan pada peringkat awal kehamilan.

“Selepas isteri habis alahan, saya pula terkena. Bukan mengidam atau mengalami muntah-muntah, sebaliknya saya diserang demam panas selama seminggu.

“Pada mulanya saya menyangka demam denggi, tetapi doktor memberitahu sekadar demam biasa. Mungkin juga ia disebabkan pembawaan anak dalam kandungan,” katanya.

Rezeki bakal anak

Sesuatu yang tidak disangka juga hadir dalam hidup Shukri sepanjang pembabitannya sebagai anak seni apabila dilantik duta bagi tiga produk minuman ternama iaitu Yeo’s, Delifresh dan Nescafe.

Peluang diberikan itu hadir sebaik sahaja dia berkahwin. Perkara itu sekali gus menafikan status berkahwin bukan penghalang kepada kelangsungan kerjaya seseorang.

“Alhamdulillah, itulah yang dinamakan rezeki selepas berkahwin. Sejak itu, saya semakin percaya dengan rezeki orang berkahwin dan mempunyai anak. Sebab itu saya marah jika ada mana-mana pasangan mengatakan mereka belum bersedia menimang cahaya mata kerana faktor ekonomi.

“Saya selalu cakap kepada rakan yang baru berkahwin, sebaik-baiknya jangan terlalu merancang. Ini kerana rezeki anak itu sentiasa ada dan terbuka luas.

“Perlu yakin dan percaya, Allah sudah sediakan rezeki untuk setiap anak itu. Paling penting, jangan sesekali berasa terbeban dengan kehadiran cahaya mata,” katanya.

Mengenai perkembangan lakonannya, Shukri baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Surf This Love.

Selain itu, dia kini terbabit dalam dua telefilem raya berjudul Suami Tanpa Cinta Raya dan Cik Cinderella dan Encik Tengku Raya.

“Buat masa sekarang saya masih sibuk. Insya-Allah Ramadan ini baru saya dapat berehat sepenuhnya dan boleh meluangkan lebih banyak masa dengan isteri.

“Ditambah pula selepas kematian ibu mentua bulan lalu, saya perlu sentiasa berada di sisinya.

“Disebabkan itu, selepas habis bekerja saya akan terus pulang dan menemaninya. Saya sentiasa memberikannya kata-kata semangat dan menjaga emosinya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");