Berita Hari Ini

Tak salah beri dana, lulus projek masa pilihan raya

SHAH ALAM – Pengumuman pemberian dana dan kelulusan projek bagi kemudahan masyarakat oleh para pemimpin menjelang pilihan raya adalah tidak salah, kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib.

Menurut beliau, langkah berkenaan baik bagi pembangunan komuniti rakyat serta memberi manfaat dan impak yang besar kepada kemajuan sesebuah kawasan.

“Cumanya, apa yang salah adalah jika kelulusan sesuatu projek dan dana yang diumumkan oleh pemimpin kerajaan itu hanya memberi manfaat kepada segelintir kumpulan sahaja.

“Namun jika pengumuman itu berkaitan dengan manfaat rakyat dan memberikan impak pada kemajuan kawasan, apa salahnya?” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Sebelum ini, Pas turut mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan kerana meluluskan projek ‘serta-merta’ tanpa menyemak bajet bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, pemimpin parti lain juga boleh membantu rakyat dan membuat pengumuman berhubung sebarang pemberian yang dapat mereka berikan kepada masyarakat selepas ini.

“Bersaing memberikan pembangunan dan bantuan pada rakyat merupakan satu persaingan sihat dan wajar diteruskan. Pilihan raya adalah musim memberi bantuan kebajikan pada rakyat, dan ia tidak salah,”katanya.

Selain itu, Md Shukri memaklumkan bahawa undian adalah merupakan hak pengundi untuk memilih dan soal pemberian bantuan serta sumbangan merupakan hak setiap pemimpin masing-masing.

Namun begitu, Md Shukri berkata para pemimpin tidak boleh mensyaratkan serta memaksa pengundi untuk memilih mereka kerana ia merupakan satu paksaan.

“Bagi saya kita sudah matang dan rakyat pun sudah faham. Apa yang nak dirisaukan mengenai soal kelulusan projek dan bantuan ini kerana kalah atau menang sesebuah parti itu adalah hak rakyat untuk memilih dan bukannya projek sebagai penentu.

“Memang tugas kerajaan dan Perdana Menteri untuk sediakan segala peruntukan kemajuan dan pembangunan, jangan campur urusan dan kerja mereka.

“Biarkan mereka memberi. Yang penting pantau adakah benar projek atau bantuan itu sampai ke sasaran yang betul,”katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");