Berita Hari Ini

Tiada elemen rasuah dalam banjir kilat ibu kota

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang elemen rasuah yang boleh dikaitkan dengan kejadian banjir kilat di ibu kota baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata SPRM juga mendapati tiada elemen rasuah terbabit dalam pemberian kontrak bagi kerja saliran dan pembersihan sungai yang mengakibatkan banjir kilat itu.

“Perkara pertama adalah tiada sebarang eleman rasuah…kami beri kontrak kepada kontraktor berdasarkan keperluan.

“Jika kontraktor itu tidak mencapai piawaian, kami akan tamatkan kontrak,” katanya selepas menghadiri Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan SPRM mengenai kejadian banjir kilat itu yang didakwa berlaku akibat rasuah.

Ditanya sama ada siasatan lanjut akan dilakukan mengenai insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata: “Tak ada apa lagi yang nak disiasat.”

Dalam kejadian banjir kilat 12 Mei lepas, hampir 100 kenderaan ditenggelami air di Jalan Tuanku Abdul Halim (dulunya dikenali Jalan Duta) dan Jalan Bangsar.

Beliau berkata kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati banjir kilat di Jalan Tuanku Abdul Halim adalah kesan daripada kerja pembangunan di kawasan itu selain diburukkan dengan hujan yang sangat lebat.

Bagi Jalan Pantai Baharu berhampiran Universiti Malaya (UM), Tengku Adnan berkata kolam pembendungan di UM didapati penuh dengan lumpur akibat kerja pembangunan di universiti itu, sekali gus tidak mampu menampung kadar air hujan yang banyak.

Tengku Adnan berkata kementeriannya juga bercadang memasang sistem pembendungan air bagi mengurangkan risiko berulangnya banjit kilat.

Katanya ia termasuk menggantikan paip lama, memasang pam air dan membina kolam pembendungan serta lencongan jalan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");