Jenayah

Wanita ditahan polis, tipu pakej pelancongan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif menggunakan media sosial sebagai medium memperdaya orang ramai dengan pakej pelancongan murah sejak tahun lepas, telah ditahan polis.

Sepanjang menjalankan perniagaan secara dalam talian itu, suspek yang berusia 22 tahun itu difahamkan telah mengaut keuntungan kira-kira RM200,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan memberitahu Bernama bahawa suspek ditahan reman bermula pada 23 Mei dan dilepaskan tiga hari kemudian setelah keterangan diambil.

“Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lepas (26 Mei) oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Manjung bagi membantu siasatan dipercayai berhubung kes penipuan pakej pelancongan ke Pulau Perhentian,” katanya.

Othman berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Difahamkan, suspek yang masih bujang dan menganggur itu menggunakan laman sosial Instagram dikenali sebagai ‘mytravel.coo’ untuk menjerat mangsanya dengan mengiklankan pakej percutian di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, instagram milik suspek kini didapati tidak aktif dan ditutup sejak suspek ditahan.

Antara pakej percutian dalam negara yang dianjurkan ialah Pakej ke Redang dan Pulau Perhentian dengan bayaran tiga hari dua malam sebanyak RM200 hingga RM250 seorang, manakala bayaran pakej ke Jepun dan Korea serendah RM1,300 seorang untuk pakej percutian lima hari empat malam.

Selain itu, pakej lain dalam dan luar negara yang dianjurkan suspek ialah Pakej ke Pulau Tioman, Maldives dan Australia merangkumi tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, tiket lawatan dan makan minum. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");