Sukan Hari Ini

Boateng yakin segera pulih

Lille, Perancis: Pemain pertahanan Jerman Jerome Boateng yang menjaringkan gol ketika pasukannya menewaskan Slovakia 3-0 awal pagi semalam menegaskan kecederaan betisnya semakin pulih dan yakin mampu beraksi di suku akhir menentang juara bertahan Sepanyol atau Itali.

Boateng yang menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan kencang seawal minit kelapan mengalami kecederaan ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Ireland Utara. Bagaimanapun dia mampu bermain selama 72 minit pada aksi awal pagi semalam.

Menurutnya, keadaan kecederaannya kini semakin baik walaupun masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan perlawanan seterusnya dan semuanya berjalan lancar.

“Secara teknikal Sepanyol yang terbaik dalam kejohanan ini dan mempunyai penguasaan permainan baik. Saya tidak tahu sama ada kami perlu memberi tekanan kepada lawan kerana mereka sangat baik mengawal bola dan seperti sudah bertahun-tahun bermain bersama,” katanya.

Jerman akan berdepan sama ada juara bertahan, Sepanyol atau Itali pada suku akhir Sabtu ini tetapi Boateng menyatakan beliau tidak mempunyai pilihan sebenar.

Jerman menang 4-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Itali yang dikendalikan Antonio Conte awal tahun ini tetapi pasukan Itali itu lebih banyak mencatat kemenangan menentang mereka dalam kejohanan utama antaranya, Piala Dunia 2006 dan Euro 2012.

“Pasukan Itali sememangnya terlatih secara teknikal, mereka bermain dengan baik sebagai satu pasukan,” katanya.

Pertahanan Jerman masih belum melepaskan sebarang gol pada kejohanan ini walaupun pemain Bayern Munich berkenaan mengakui keadaan itu boleh berubah.

“Semuanya berjalan baik masa ini tapi kami akan bertemu dengan pasukan lawan mencipta banyak peluang,” tegasnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");