Berita Hari Ini

Ceria berganda kunjungan PM

Kuala Lumpur: Tanpa permaidani merah Datuk Seri Najib Razak muncul menceriakan sebahagian penghuni Pusat Penjagaan Al-Fikrah ketika mereka membeli-belah pakaian raya di Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) di Bandar Tun Hussein, Cheras, dekat sini.

Ketibaan Perdana Menteri yang berbaju kemeja putih dan seluar hitam jam 5 petang disambut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi KKR1M Mohd Noor Mohd Amin serta kakitangan KKR1M.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penghuni pusat penjagaan itu kerana bukan sahaja berpeluang memilih sendiri baju baru diingini mereka, tetapi menerima kunjungan Perdana Menteri dan dapat langsung meluahkan ucapan penghargaan “Terima kasih PM, belanja baju raya kami.”

Dalam lawatan turun padang itu, Najib berkata, beliau berusaha sedaya upaya memastikan rezeki dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat dikongsi bersama seluruh rakyat.

“Hari ini, mereka dapat memilih sendiri baju Raya dan juga membeli-belah apa yang diingini untuk menyambut hari raya. Saya berharap ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kemeriahan Syawal mereka,” katanya dalam ucapan di hadapan warga penghuni pusat jagaan itu.

“Setelah melawat mereka sebelum ini, saya sedar mereka kurang berupaya untuk keluar bersiar-siar, namun saya ingin memberikan mereka peluang untuk menikmati kemeriahan Syawal sebagai sebuah keluarga,” katanya.

Dalam bergembira menyambut ketibaan Syawal, katanya, rakyat seharusnya sentiasa memperkukuh hubungan sesama insan terutama bersama mereka yang kurang bernasib baik.

“Semoga sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna bagi warga Al-Fikrah,” katanya yang meluangkan masa hampir sejam bersama penghuni pusat jagaan itu.

Seorang penghuni, Maakip Waakup memberitahu, beliau gembira kerana Perdana Menteri sendiri memilihkan sepasang baju Melayu untuk dipakainya pada pagi Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah, pak cik suka sangat Perdana Menteri sendiri pilih baju Melayu warna merah jambu untuk dipakai beraya di rumah orang tua atau rumah anak pak cik,” katanya.

Pusat Penjagaan Al-Fikrah menyediakan bantuan dan penjagaan untuk individu yang hilang tempat bergantung, pesakit hospital yang memerlukan rawatan susulan, individu yang terabai dan ditinggalkan keluarga.

Pusat jagaan itu turut dihuni mereka yang dalam proses pemulihan daripada penyakit, yang sedang menerima rawatan fisioterapi pemeriksaan kesihatan dan sesi perapian diri.

Ketika ini, pusat berkenaan mempunyai 73 penghuni yang berusia 24 hingga 92 tahun. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");