Membawang Hari Ini

‘Cuma nak bergurau manja’

Pelakon dan pengacara tampan, Awal Ashaari, 35, tidak dinafikan antara selebriti yang paling ramai pengikut di media sosial. Bukan saja kerana kerjayanya namun personaliti menariknya membuatkan pengacara Melodi itu sangat berpengaruh.

Lantas, tindakannya baru-baru ini memuat naik status mengenai penggunaan perkataan ‘bah’ yang menjadi dialek orang Sabah dikatakan cukup menyinggung. Disebabkan kenyataannya itu yang dibuat di Instagram dan Facebook, ramai tidak berpuas hati.

Terutama buat peminat dari Sabah yang mendakwa Awal seakan-akan mempersendakan dialek rakyat negeri itu. Pelbagai reaksi dan kritikan dilemparkan kepadanya yang berkunjung ke sana bagi mempromosikan baju rayanya, hujung minggu lalu.

Tidak kurang ramai yang menganggap tindakan itu sebenarnya bukan isu besar. Lagipun, Awal sendiri bukan tahu bertutur bahasa Sabah bahkan ada memuji usahanya untuk cuba berbuat demikian bagi menarik perhatian peminat di sana.

Dalam pada komen demi komen terus diberikan terhadap statusnya itu, Awal pula belum memberikan sebarang reaksi. Bersama wartawan RAP, GEORGIE JOSEPH ([email protected]), Awal menjawab mengenai tindakannya itu.

RAP: Adakah Awal sendiri menulis status itu?

AWAL: Ya, saya tulis sendiri dengan harapan mengajak semua peminat di sana untuk datang beramah mesra dengan kami sekeluarga.

RAP: Apa sebenarnya niat Awal kerana ada peminat mendakwa anda cuba mempersendakan dialek orang Sabah?

AWAL: Tak ada niat langsung mahu mempersendakan orang Sabah. Saya cuma mahu bergurau manja dengan mereka dengan cuba selitkan perkataan ‘bah’ bagi menunjukkan lebih kemesraan di situ.

RAP: Terkejut tak bila status itu menjadi viral?

AWAL: Oh, jadi viral? Saya tak tahu pula. Saya tergesa-gesa naikkan status itu sekembalinya dari Madinah kerana esoknya kami terus kena pergi Sabah. Tak sangka pula status bergurau saya diambil serius oleh sesetengah orang dan menganggap saya memperlekehkan bahasa mereka.

RAP: Ada berkesempatan menjenguk setiap komen peminat?

AWAL: Sempat juga saya baca dan balas komen yang mereka faham ia bukan disengajakan. Syukur kebanyakan mereka faham status itu cuma gurauan maklumlah saya pun tidak mahir loghat Sabah. Bagaimanapun, ada juga yang terasa dan ambil serius sampai begitu sekali.

RAP: Ramai mahukan Awal minta maaf. Kesal tak dengan tindakan itu?

AWAL: Saya tidak kesal dengan status itu namun cuma saya rasa tidak sepatutnya ia jadi isu dan diviralkan. Sudah puas menjelajah di pelosok negara membuatkan saya sentiasa cuba bertutur dialek setiap negeri dan bukannya di Sabah saja bahkan di Tereng­ganu sekalipun. Mungkin ini kes disebabkan orang Sabah lebih sensitif soal budaya dan bahasa mereka.

RAP: Apa pengajaran yang Awal dapat? Maklumlah, dalam pada berhati-hati pasti adakala kita terlepas pandang perkara kecil sebegitu.

AWAL: Peminat saya tahu bagaimana personaliti dan karakter saya yang seorang ‘happy go lucky’ dan suka bercanda. Namun, dalam hal begini saya bukannya sengaja menjadikan isu budaya dan kenegerian sebagai bahan mainan.

Yang pasti, saya bukan cakap lucah dan tidak beradab. Cuma ada penggunaan melebih perkataan ‘bah’ itu saja. Tidak mengapa, saya mahu memohon maaf sekiranya status itu memang menyinggung perasaan masyarakat Sabah.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");