Jenayah

Curi rim kereta ketika berbuka puasa

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang pemuda yang ‘memilih’ waktu berbuka puasa untuk mencuri rim kereta milik jirannya tidak berhasil apabila perbuatannya sempat disedari sebelum ditangkap dan diserahkan kepada polis.

Susulan perbuatan itu, Ahmad Fauzi Ghazali, 25, dari Kampung Jeram Manir, di sini, menerima hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku salah cuba mencuri sebiji rim warna coklat gelap atau hitam yang mempunyai label bercetak ‘W’ bersama sebiji tayar yang bercetak ‘Falken’ milik mangsa, Abdul Halim Ibrahim, di Kampung Jeram Manir, di sini, kira-kira jam 7.40 petang, 9 Jun lalu.

Dengan itu, Ahmad Fauzi mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, kira-kira jam 7.40 malam, sejurus selesai menikmati juadah berbuka puasa di rumah, mangsa yang bekerja sebagai mekanik itu ternampak kelibat seseorang yang sedang berjalan di belakang rumahnya.

Mangsa yang rasa tidak sedap hati terus pergi ke belakang rumah sebelum terserempak dengan Ahmad Fauzi yang ketika itu sedang memegang sebiji rim kereta miliknya dipercayai hendak dicuri.

Bagaimanapun, sejurus ternampak mangsa, dia terus mencampakkan rim tersebut dan lari meninggalkan lokasi bagi mengelak ditahan, namun dengan bantuan penduduk kampung, Ahmad Fauzi berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.

Hasil ujian saringan awal kencing turut mendapati Ahmad Fauzi positif dadah jenis amphetamine.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");