Membawang Hari Ini

Fadzli sahut pelawaan Hafiz

Ramai bertanya kepada Fadzli Aziz, adakah dia menubuhkan kumpulan nasyid baru yang dinamakan The Mikraj selepas meninggalkan UNIC hampir setahun lalu?

Menjelaskan perkara itu, Fadzli yang kini mengacarakan program Assalamualaikum di TV AlHijrah dan aktif sebagai pakar motivasi memberi ceramah kepada pelajar sekolah di seluruh negara, The Mikraj bukanlah kumpulan barunya sebaliknya ia projek khas yang diilhamkan penyanyi nasyid Hafiz Hamidun.

Selain Fadzli atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Abdul Aziz, tiga lagi artis yang menganggotai The Mikraj ialah Adi Akmal, Taqiuddin dan Asyraf.

Tiada masalah untuknya menyesuaikan diri dengan tiga lagi anggota kerana mereka saling mengenali kerana sama-sama belajar di Maahad Muhammadi, Kelantan.

“Mereka junior saya di Maahad Muhammadi, jadi tak rasa janggal apabila Hafiz menyatukan kami dalam projek khas ini. Selain itu, rindu untuk menyanyi semula antara sebab mengapa saya terima pelawaan Hafiz.

“Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu serius kerana kesuntukan waktu dan kehadiran saya bersama tiga lagi rakan dalam The Mikraj hanya untuk memeriahkan industri sekali gus dapat mengubat kerinduan saya beraksi di pentas nasyid.

“The Mikraj menampilkan enam lagu qasidah yang dimodenkan dan dua lagu biasa. Ia adalah lagu lama yang pernah dipopularkan kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Raihan,” katanya.

Qasidah dan lagu yang disisipkan dalam album itu ialah Qad Kafani, Maulaya Solli, Sholatun Salam, Cinta Kami, Tholama Asyku Ghoromi, Busyrolana, Ya Rasulullah menampilkan Nazrey Johani dan Qod Kafani, yang semuanya dipilih Hafiz.

Dalam pada itu, Fadzli akui suaranya tidaklah sehebat mana dan adakala dia berasa rendah diri apabila berdiri sebaris dengan penyanyi nasyid lain.

“Saya boleh menyanyi tetapi vokal saya tidaklah bagus sangat terutama pada bahagian bernada tinggi. Namun apabila Hafiz mengajak saya menyertai The Mikraj ia memberi keyakinan kepada saya untuk melantunkan suara depan orang ramai.

“Ia juga mengurangkan gementar saya kerana kami menyanyi secara harmoni,” katanya.

Meskipun Fadzli menganggap suaranya biasa-biasa saja, ada insan lain menghargai bakat bapa kepada dua cahaya mata itu iaitu penyanyi nasyid solo terkenal, Dakmie.

“Dakmie mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya secara solo. Saya terkejut dengan permintaannya.

“Saya mahukan lagu yang ringkas dan tidak mahu bernada tinggi. Bimbang tak boleh bawa nanti.

“Suara saya lebih sesuai dengan lagu nyanyian Opick. Insya-Allah, saya akan sahut cabaran Dakmie,” katanya.

Asas produk cergas minda

Perkembangan lain, selepas keluar daripada UNIC, dia banyak terbabit dalam bidang latihan, ceramah dan motivasi terutama kepada pelajar sekolah.

Oleh kerana kerap bergaul dengan golongan itu, Fadzli menyedari mereka cepat letih sehingga kurang cerdas di sekolah.

“Persekolahan bermula seawal jam 7.30 pagi sehingga jam 1 atau 2 petang, ada ketika ada kelas tambahan lagi. Balik ke rumah berehat sebentar, sebelah malam ke kelas tuisyen pula dari jam 8 hingga 10 malam.

“Kemudian kena siapkan kerja sekolah sekali gus mereka tidak cukup rehat dan mengantuk di dalam kelas. Apabila penat, mereka tidak boleh fokus dengan apa yang diajar cikgu.

“Menyedari masalah ini, saya keluarkan produk makanan tambahan pada April lalu. Ia formula terbaik untuk kanak-kanak cerdas dan bertenaga,” katanya.

Produk itu mampu merangsangkan perkembangan otak, menajamkan minda, menguatkan memori dan daya ingatan serta membantu meningkatkan kebolehan mengatasi tekanan.

“Produk ini terbukti berkesan dan saya sedang mencari pengedar di seluruh negara. Sebagai ibu bapa kita mesti mengambil berat hal anak-anak kerana tiba masa nanti mereka terpaksa berdikari. Oleh itu mereka perlu menjadi orang yang cemerlang dengan didikan dunia dan akhirat,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");