Jenayah

Geng Apek, O Om, Bulat tumpas

KUALA SELANGOR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor berjaya menumpaskan geng curi motosikal dan samun sekali gus menyelesaikan beberapa kes jenayah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, pihak polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal yang dikenali sebagai Geng Apek yang bergiat aktif mencuri motosikal di daerah ini dan Sekinchan.

Menurutnya, seramai 10 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun itu berjaya diberkas melibatkan enam kes curi motosikal dan satu kes pecah rumah di daerah ini manakala dua lagi kes di Sekinchan.

“Dalam tempoh siasatan, polis berjaya merampas dua komputer riba, tiga telefon bimbit, satu motosikal jenis Yamaha, komponen motosikal dan peralatan mencuri motosikal.

“Kumpulan ini sudah menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ruslan berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan geng samun yang dikenali Geng O Om yang dianggotai tiga individu yang melakukan jenayah menggunakan pedang samurai di sebuah pasar raya dan kedai pakaian di daerah ini.

“Dua daripada kumpulan itu yang berusia 22 tahun dan 30 tahun berjaya ditangkap pihak polis sekali gus menyelesaikan tiga kes samun bersenjatakan pedang samurai di Kuala Selangor, satu kes di Klang Utara, satu kes di Sungai Buloh dan satu lagi di Shah Alam.

“Kedua tangkapan ini telah dituduh di mahkamah dan kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Tambah Ruslan, pihak polis juga berjaya menumpaskan geng curi motosikal yang dikenali sebagai Geng Bulat yang diketuai seorang lelaki Melayu berusia 31 tahun yang menyasarkan rumah terpencil sebagai sasaran.

“Kumpulan ini akan menyasarkan rumah penduduk untuk dipecah masuk dan mencuri motosikal mangsa untuk dijual kepada warga asing yang bekerja di ladang.

“Seramai 10 lelaki tempatan dan pendatang asing warganegara Indonesia berjaya ditahan untuk siasatan dan pihak polis berjaya merampas dua motosikal, sebuah kereta, komponen motosikal dan sebuah dapur gas.

“Penangkapan kumpulan ini berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Jeram, Kuala Selangor dan dua lelaki daripada kumpulan itu termasuk ketua dituduh di mahkamah.

“Manakala pendatang asing warganegara Indonesia yang tiada dokumen perjalanan yang sah dituduh di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Ruslan turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di daerah ini supaya tidak meninggalkan barang berharga di rumah sempena musim perayaan Aidilfitri.

“Sila maklumkan pergerakan cuti kepada jiran atau balai polis berhampiran supaya pemantauan dapat dilaksanakan di kawasan perumahan bagi mengelak kes tidak diingini.

“Kerjasama orang ramai amat digalakkan bagi menyalurkan maklumat penting kepada pihak polis,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");