Berita Hari Ini

Golongan Tercicir Vaksin Akan Dijejak – Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan berusaha mengenal pasti golongan tercicir daripada mendapatkan vaksin di negara ini terutama golongan miskin.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata langkah tersebut berikutan dua kes kematian daripada dua keluarga akibat difteria di Kedah dan Melaka baru-baru ini.

“Ini perlu diberi perhatian. Kedua-dua keluarga ini didapati gagal mendapat vaksin lengkap (untuk anak mereka) akibat kemiskinan dan tinggal secara nomadic (tidak kekal di satu tempat).

“Mereka bukan golongan anti vaksin, tetapi terkeluar daripada kawalan perkhidmatan kesihatan kerana isu sosioekonomi sedangkan program imunisasi adalah secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media anjuran kementerian itu di sini, Selasa.

Justeru, katanya kementeriannya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjejak golongan terbabit bagi memastikan mereka mendapat vaksin lengkap.

Mengulas mengenai golongan anti vaksin, Dr Subramaniam berkata kementerian akan meningkatkan pendekatan kempen kesedaran terlebih dahulu untuk mengubah persepsi negatif golongan itu terhadap vaksin.

“Buat masa ini ia (vaksin) bukan satu paksaan … ini perkhidmatan kesihatan, tapi dasar kita (kerajaan) galakkan ibu bapa memastikan anak mereka dapatkannya dan ramai yang sudah ikut.

“Sebagai permulaan kita guna kaedah meningkatkan pengetahuan mereka (anti vaksin), kemudian kita akan lihat langkah lain,” katanya.

Katanya walaupun suntikan vaksin mungkin memberi kesan sampingan minimum seperti bengkak di tempat suntikan dan demam, namun perlindungan yang diberi adalah lebih mustahak dan dianggap selamat.

“Vaksin telah dinilai dari segi kualiti, efikasi dan keselamatan yang perlu dibuktikan melalui kajian klinikal sebelum ia didaftarkan oleh pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan, ia satu keperluan sebelum dipasarkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan RM100 juta setiap tahun bagi memberi perkhidmatan imunisasi percuma kepada rakyat.

Mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty Eric Paulsen yang menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap gerakan anti vaksin dan ibu bapa yang menolak vaksin di bawah undang-undang tertentu, Dr Subramaniam berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.

Beliau berkata sejak tiga tahun kebelakangan ini, penyakit cegahan vaksin termasuk difteria meningkat iaitu dari dua kes pada 2014 kepada empat kes tahun lalu dan melonjak kepada 12 kes tahun ini (Januari sehingga semalam).-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");