Jenayah

Hangus jadi debu

GUA MUSANG: Sukar menggambarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 18 ahli keluarga di Jalan Marmar, Felda Chiku 5, di sini, apabila rumah mereka hangus sekelip mata dalam kebakaran, pagi semalam.

Salah seorang mangsa, Zulmaisarah Zainun, 31, berkata, sebelum kejadian dia bersama seorang anaknya keluar rumah pada jam 8.55 pagi untuk menghantar kunci kedai di Felda Chiku 3, di sini.

“Saya keluar rumah untuk hantar kunci kedai tempat saya kerja kerana saya cuti. Saya tinggal anak sulung saya, Mohd Alif Hakimi, 10, di rumah bersama tiga sepupunya yang berumur dua hingga 13 tahun.

“Semasa balik rumah pada jam 9.05 pagi, rumah sudah hangus dan api sedang marak. Anak saya dan sepupunya sudah berada di luar rumah dan tiada apa dapat diselamatkan. Kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Menurut Zulmaisarah, baju raya, barang peribadi dan duit kutu RM700 yang baru diperoleh untuk bekalan hari raya turut musnah dalam kejadian, manakala punca kebakaran tidak diketahui.

Bagaimanapun dia berkata, anaknya memberitahu api datang secara tiba-tiba di bahagian bilik kedua dan merebak ke ruang tamu.

“Saya ada enam anak tapi dua berada di rumah manakala empat lagi bersama kakak saya di Perasu. Anak sulung saya demam dan berada dalam bilik pada hari kejadian. Nasib baik mereka semua sempat lari menyelamatkan diri. Ibu saya, Sakias

Abdullah pula ke Kota Bharu untuk ambil sumbangan hari raya ibu tunggal.

“Di rumah ini, kami tinggal tiga keluarga, 18 orang kesemuanya. Saya sendiri buntu bagaimana sambutan perayaan kami nanti tanpa kediaman dan kelengkapan,” kata ibu tunggal itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abad memaklumkan, kebakaran itu memusnahkan 90 peratus rumah dan punca kejadian masih disiasat serta anggaran kerugian hampir RM150,000 melibatkan kemusnahan semua kelengkapan dan rumah.

Bantuan segera Felda

Peka dengan nasib malang yang menimpa keluarga ini, Felda Wilayah Gua Musang tampil menghulurkan bantuan segera termasuk keperluan makanan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Penolong Pengurus Besar, Kamasri Mamat berkata, pihaknya akan berusaha mendapat bantuan daripada Tabung Kebajikan Felda bagi membantu keluarga itu dan untuk sementara mereka akan ditempatkan di dewan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di sini.

“Kita memberikan bantuan segera iaitu makanan bernilai RM200 kepada mereka. Selain itu, wang tunai RM1,000 juga diberikan bagi membantu mereka mendapatkan keperluan lain,” katanya.Pemimpin, NGO turut bantu

Nasib menimpa keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menghulurkan sumbangan wang tunai RM500 berserta peralatan dapur.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Puteri Umno bahagian, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli yang turut menyampaikan sumbangan daripada Puteri Umno bahagian berupa wang tunai, kelengkapan solat dan keperluan pakaian.

Turut menyampaikan sumbangan barangan makanan termasuk beras adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force Gua Musang yang diketuai Mastura Hatta dan keluarga berkenaan turut menerima kunjungan daripada Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");