Berita Hari Ini

Islam tuntut perlu berubat jika diserang penyakit

SHAH ALAM – “Islam menganjurkan untuk berubat sekiranya mereka ditimpa sesuatu penyakit,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: ‘Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin ALLAH’ (Riwayat Muslim).

“Kata Al-Imam Nawawi, hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Kata al-Qadi Iyadh, dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya.

“Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat,” katanya dalam catatan di Facebooknya bagi menjawab mengenai isu vaksin dan falsafah Islam dalam menghadapi penyakit.

Mohd Asri berkata, Islam turut menuntut umatnya menyelamatkan diri daripada kemusnahan dan mereka dilarang menghampiri sebab-sebab yang boleh membawa kemusnahan.

Menurutnya, perkara itu disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW ketika baginda berbicara mengenai penyakit taun.

“Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengajar tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar.

“Hadis ini pernah dibaca oleh Abd al-Rahman ‘Auf kepada Khalifah Umar al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini, Amirul Mukminin Umar al-Khattab membatalkan hasratnya,” katanya.

Menurutnya, jika seseorang itu masih dihinggapi penyakit atau wabak sehingga boleh membawa maut walaupun telah mengambil segala langkah diperlukan, maka keadaan itu adalah di luar kuasa manusia.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");