Jenayah

Kes tipu: SPRM KL tahan ‘Syed Faizal’

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan terancang yang melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit di kalangan tertuduh kes rasuah dan orang awam dengan tertangkapnya perancang utama iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun.

Lelaki berusia 48 tahun itu merupakan bekas anggota penguatkuasa yang dibuang kerja atas kesalahan jenayah merupakan ketua sindiket dan tiga orang wanita turut ditahan bagi membantu siasatan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi khas yang dijalankan malam tadi.

Menurut Pengarah SPRM KL, Ahmad Khusairi Yahaya, pasukan khas yang ditubuhkan untuk menjejaki dan menahan suspek bermula sejak dua bulan lepas bila mana maklumat diterima mengatakan lelaki terbabit yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya bernama “Syed Faizal” telah menuntut bayaran rasuah sebanyak RM50,000 bagi menyelesaikan kes rasuah yang melibatkan seorang tertuduh.

“Sindiket ini telah menggunakan beberapa akaun bank dan kad ATM yang diperolehi daripada ketiga-tiga wanita terbabit.

“Kesemua wang hasil penipuan akan dimasukkan ke dalam akaun-akaun tersebut dan digunakan oleh sindiket.

“Gerakan mengesan beberapa anggota sindiket masih berjalan. Butir peribadi mereka telah kami perolehi dan gerakan mengesan sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambah Ahmad Khusairi, modus operandi sindiket ialah menghubungi mangsa setelah memperolehi maklumat menerusi laporan media berhubung kesalahan yang dihadapi mangsa (tertuduh kes rasuah).

“Mereka akan memeras ugut mangsa dan meminta jumlah suapan rasuah tertentu bagi tujuan menarik balik pendakwaan atau mengurangkan hukuman tertuduh.

“Suspek telah meminta mangsa untuk memasukkan wang rasuah tersebut ke dalam dua akaun berasingan dan enggan mengadakan apa-apa pertemuan.

“Hasil siasatan juga mendapati, sindiket ini turut menyamar sebagai pegawai kastam dan menawarkan penjualan kereta atau barang-barang rampasan kastam dengan harga yang murah.

“Setakat ini tiga individu telah dikesan ditipu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM20,000,” katanya lagi.

Tambah beliau, sindiket ini bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur dan Sabah. SPRM Sabah mempunyai kertas suasatan aktif ke atas saspek yang cuba dikesan sejak setahun yang lalu.

SPRM KL memohon orang awam yang pernah ditipu oleh sindiket ini untuk tampil melaporkan aduan mereka dengan menghubungi Penolong Penguasa Tan Ying Hui di talian 0195725222.

Perintah tahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah akan dibuat dan kedua-dua saspek akan disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");