Sukan Hari Ini

‘Laporan Sky Sports tidak benar’

Chantilly, Perancis: Bekas pengurus England Roy Hodgson menafikan laporan anak buahnya mempersoalkan keputusannya dalam membuat keputusan senarai kesebelasan utama sebelum tewas 1-2 kepada Iceland yang sekali gus menyaksikan England tersingkir daripada saingan Euro 2016.

Pada sidang media 24 jam selepas mengumumkan peletakan jawatannya, Hodgson diajukan soalan laporan keadaan tidak harmoni dalam pasukan dan dakwaan pemain senior mempersoalkan keputusan untuk menurunkan penyerang Raheem Sterling ketika bertemu Iceland serta perubahan yang sering dilakukan dalam kesebelasan utama sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Slovakia.

“Tiada bukti yang menunjukkan mereka tidak menyokong kami. Barisan pemain sentiasa mengikuti perancangan pasukan dan cuba sedaya upaya melaksanakan apa yang dirancang,” kata Hodgson sebelum Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris menjelaskan perkara itu turut dinafikan oleh kapten pasukan Wayne Rooney.

Rooney mengeluarkan kenyataan berkata: “Susulan laporan media sebelum ini, saya ingin memaklumkan segala-galanya tidak benar. Mewakili pemain, kami sememangnya memberi sokongan penuh kepada pengurus England.”

Dakwaan itu dilaporkan oleh penyiar British Sky Sports yang dipetik berkata, mereka memperoleh maklumat itu daripada sumber yang tidak dikenalpasti dalam kem England.

Hodgson yang menyaksikan pemilihan serta corak taktikalnya dikritik hebat oleh media British berkata, beliau berasa kecewa selepas kekalahan itu kerana ada yang berpendapat ia sejarah paling buruk dalam bola sepak England.

“Saya tidak pasti apa yang saya lakukan di sini, tapi saya diminta untuk tampil kerana semua pihak masih berasa kecewa,” kata Hodgson yang meminta maaf kepada penyokong England berikutan keputusan memalukan itu.

“Saya memang berasa kecewa dan tidak pernah menduga kami akan tewas. Jika anda tidak beraksi dengan baik mengikut keupayaan anda, anda akan dikecewakan,” jelasnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");