Berita Hari Ini

Lebih 100 Kes Tolak Vaksin Direkodkan Di Perak Januari-Mei – Exco

TAPAH: Sebanyak 102 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin untuk anak mereka direkodkan dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 100 kes melibatkan keluarga daripada kaum Melayu.

“Pada tahun 2015 terdapat 145 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin untuk anak mereka di Perak,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan bengkel dan ceramah motivasi bagi guru dan pelajar daerah Batang Padang, di sini, Sabtu.

Dr Mah berkata keengganan ibu bapa mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka boleh mengundang bahaya kerana kanak-kanak tersebut terdedah dengan pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kematian.

Katanya pengambilan suntikan vaksin adalah satu daripada perkembangan dalam dunia perubatan yang paling baik dan dapat membawa pelbagai manfaat kepada manusia.

“Dalam perubatan kita panggil ‘herd immunity’ (imuniti kumpulan) iaitu individu yang mempunyai (rangkaian) vaksin dapat menghentikan penyakit itu dari terus merebak.

“Sebagai contoh dalam satu kumpulan beberapa orang yang mengambil vaksin dan tidak, apabila penyakit itu merebak individu yang mengambil vaksin, penyakit itu akan terhenti di situ. Jadi ia bukan sahaja menyelamatkan individu itu sendiri malah orang lain,” katanya.

Dr Mah berkata ibu bapa tidak harus terpengaruh dengan khabar angin bahawa kanak-kanak akan menjadi cacat sekiranya mengambil suntikan vaksin kerana perkara itu sangat jarang berlaku.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Juwita Ghazali ketika dihubungi Bernama berkata terdapat beberapa sebab ibu bapa menolak suntikan vaksin antaranya berkaitan isu halal, homeopati, ragu-ragu, takut kesan sampingan, pengaruh keluarga, kos rawatan serta rawatan tradisional.

“Ada di antara ibu yang menolak pengambilan vaksin ini terdiri daripada golongan profesional awam dan swasta dan juga suri rumah,” katanya.

Dr Juwita menasihati ibu bapa tidak harus meragui atau bimbang mengenai isu halal kerana kerana semua jenis vaksin yang diberi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia disahkan halal.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");