Berita Hari Ini

Lonjak kualiti pendidikan awal

Putrajaya: Malaysia komited dalam memastikan kualiti asuhan serta pendidikan awal kanak-kanak menerusi latihan kepada guru, kurikulum serta keadaan fizikal di tempat pembelajaran yang perlu diambil kira.

Dalam menzahirkan matlamat itu, Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rantau Asia Pasifik (APFEC) 2016 akan dianjurkan bermula 19 hingga 21 Julai depan di Hotel Marriot di sini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, forum berkenaan dijangka dihadiri 1,000 delegasi terdiri daripada menteri pendidikan dan pegawai kanan kementerian dari 46 negara termasuk Malaysia serta bertemakan Pengaruh Transformasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak: Inovasi Untuk Keterangkuman dan Kualiti.

“Malaysia ditawarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai hos untuk forum kedua ketika sesi rumusan forum pertama di Seoul, Korea Selatan pada 2013.

“Ini membuktikan pihak agensi antarabangsa yakin dengan kemampuan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa seperti APFEC 2016,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran APFEC 2016 di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Forum berkenaan kerjasama kerajaan dengan UNESCO, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Rangkaian Kanak-kanak Rantau Asia Pasifik (ARNEC).

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, beliau pasti pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kerana transformasi dan perkembangan pesat pendidikan di negara ini khususnya pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, tema yang digunakan adalah satu platform untuk kerajaan mengetengahkan kemajuan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia kepada dunia khususnya negara serantau Asia Pasifik.

“Melalui APFEC, kita dapat berkongsi pengalaman dalam memajukan pendidikan awal kanak-kanak seperti latihan guru, kurikulum, penyelarasan dengan pelbagai agensi yang menyediakan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia serta perkongsian pintar dengan sektor swasta.

“Di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak ini sama ada di sekolah formal, agensi kerajaan antaranya tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) selain sektor swasta,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");