Sukan Hari Ini

Magis menjadi

Saint-Etienne, Perancis: Penjaring gol Jakob Blaszczykowski gembira sentuhan magisnya membantu mereka melakar sejarah ketika Poland menempah tiket ke suku akhir Euro 2016 dengan menundukkan Switzerland 5-4 menerusi penentuan penalti, kelmarin.

Blaszczykowski membuktikan sekali lagi dia boleh bertindak apabila diperlukan ketika dia membantu pasukannya mendahului pada babak pertama aksi pusingan kedua itu.

Pemain sayap Borussia Dortmund itu, yang dipanggil ‘Kuba’, kemudian merembat masuk sepakan penalti keempat Poland dan seluruh negara itu berpesta apabila Grzegorz Krychowiak menyudahkan sepakan kelima.

Ia kali pertama Poland layak ke suku akhir kejohanan utama sejak Piala Dunia 1982.

Menambah kegembiraan itu, ini kali pertama mereka layak ke peringkat kalah mati pusingan akhir Euro.

Keputusan itu bermakna Poland mengekalkan rekod tidak pernah kalah dalam semua 18 perlawanan apabila Blaszczykowski menjaringkan gol.

“Harapnya ia berterusan hingga ke final,” jelas Blaszczykowski, yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Fiorentina.

“Ia perlawanan paling sukar setakat ini. Switzerland banyak menyukarkan kami.

“Saya gembira, ia saat bersejarah buat kami, kerana kami kini berada dalam kelompok lapan terbaik di Eropah.”

Poland akan bertemu Portugal pada suku akhir di Marseille, Khamis ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");