Jenayah

Mangsa kebakaran pengsan

SUNGAI PETANI: Seorang peniaga bazar Ramadan pengsan ketika cuba menyelamatkan barang dalam rumahnya yang terbakar dalam satu kejadian di Taman Ria Jaya petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Saadiah Mat Hashim, 51, terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menggoreng ayam dan ikan keli.

“Namun ketika itu, tiba-tiba api naik dari tong gas.

“Saya cuba padamkan api itu dengan kain basah, namun api makin marak,” katanya yang segera keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, ketika itu, dua pekerja syarikat konsesi kebersihan sedang membersihkan longkang di rumah jirannya menggunakan paip air tekanan tinggi untuk memadam kebakaran sementara menunggu bantuan bomba.

Saadiah berkata, kejadian itu bukan sahaja memusnahkan keseluruhan bahagian dapur, bilik tidur, ruang tamu dan siling rumahnya, malah kesemua persiapan jualan serta juadah yang siap turut musnah.

“Selain perabot dan perkakasan rumah yang rosak, rumah ini juga sudah tidak selamat sebab dah banyak rosak.

“Saya tidak tahu lagi nak beraya di mana sebab tahun ini memang rancang beraya di sini. Bila jadi macam ni, hanya Allah yang tahu,” katanya sebak.

Katanya, biarpun rumahnya yang baru didiami empat tahun lalu musnah, namun bersyukur apabila tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang selepas kira-kira tiga jam menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafizul Ishak berkata, kebakaran itu melibatkan tiga rumah, namun hanya sebuah rumah rosak teruk.

“Ketika pihak bomba tiba, rumah itu sudah terbakar 80 peratus manakala dua lagi masing-masing terbakar 20 peratus.

“Operasi pemadaman tamat pada jam 5.07 petang,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Adnan Abd Rashid berkata, pihaknya menyalurkan Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 dan barangan bantuan makanan serta peralatan rumah kepada tiga keluarga terbabit.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");