Sukan Hari Ini

Misi lengkap hatrik

Spielberg, Austria: Nico Rosberg adalah satu-satunya pemandu Formula Satu semasa yang muncul juara di Austria dan pendahulu pemandu kejuaraan dunia dari Mercedes itu mahu mengekalkannya bagi melengkapkan hatrik di Litar Red Bull.

Pemandu Jerman itu tiba di Red Bull Ring selepas melakar kemenangan di Baku yang menyaksikannya muncul pendahulu berbanding rakan sepasukan yang juga juara dunia tiga kali Lewis Hamilton dengan kelebihan 24 mata berbaki 13 pusingan.

“Baku adalah minggu yang bagus untuk saya. Jentera juga berada pada prestasi terbaik,” kata Rosberg yang meraikan ulang tahun ke-31, Isnin lalu.

“Saya tidak sabar untuk melihat apa yang boleh dilakukan di Spielberg. Menang dua perlawanan daripada dua perlumbaan di mana-mana litar sememangnya amat istimewa. Jika saya dapat menang kali ketiga sudah pasti lebih menarik.

“Biasanya saya dapat bermula dengan baik terutama di selekoh pertama. Jadi jika saya dapat berada di kedudukan terbaik pada sesi kelayakan, ada peluang cerah untuk meraih keputusan yang baik,” katanya.

Rosberg mendominasi di Azerbaijan apabila menyaksikan dia memimpin perlumbaan dari petak permulaan dan turut mencatat masa terpantas.

Bagaimanapun, dia tidak bermula di petak depan di Austria apabila mencatat kemenangan tahun lalu selepas bermula di petak kedua dan ketiga pada 2014.

Hamilton yang meraih tempat kelima di Baku selepas bermula di petak ke-10, mahu meraih keputusan lebih baik.

“Agak sukar untuk memotong di litar ini tapi ada ruang untuk anda mencuba sesuatu yang baru. Jadi ia amat mencabar.

“Adalah satu kelebihan jika bermula dari petak pertama. Jadi saya perlu berada pada prestasi terbaik pada sesi kelayakan dan melakukan yang terbaik berbanding tahun lalu,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");