Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Akan Terus Berjuang Walau Dipecat

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau akan tetap meneruskan perjuangannya walaupun dipecat dari UMNO.

Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tetap akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

“Jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.

“Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan dalam jiwa saya akan terus menyala,”ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dipecat dari UMNO berkuatkuasa serta-merta kerana lantang mengkritik pimpinan parti.

Pada masa yang sama, Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau tidak akan merayu kepada Majlis Tertinggi UMNO walaupun merasakan pemecatannya itu bercanggah dengan proses keadilan.

“Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

“Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah terhadap saya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya,”ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadapnya, namun beliau tidak akan sesekali tunduk dengan desakan pihak terbabit.

Ujar Muhyiddin lagi, bukanlah prinsip beliau untuk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

“Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut.

“Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku dalam UMNO,”katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");