Panasnya Hari Ini

PAS Kedah Nafi Dakwaan Mukhriz

KUALA LUMPUR : PAS Kedah hari ini menafikan dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bahawa parti itu mempunyai perjanjian dengan UMNO membabitkan ‘pertukaran‘ Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh ADUN Ayer Hitam itu adalah sangat dangkal dan berunsur fitnah.

“Selaku ahli politik, dakwaan itu hanyalah cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya dari seorang yang pernah menjawat kedudukan Menteri Besar.

“Hakikatnya, mereka yang menjatuhkan beliau daripada kerusi Menteri Besar adalah kumpulan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana mendakwa kelemahan pemerintahan beliau akan memberi peluang PAS mengambil kembali Kedah.

“Tidak mungkin mereka yang ‘membunuh’ politik beliau atas sebab itu tiba-tiba hendak melepaskan Kedah kepada PAS,”katanya, menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, Mukhriz yang dipecat keahliannya dari UMNO pada Jumaat lalu mengesyaki bahawa terdapat perjanjian antara UMNO dan PAS membabitkan ‘pertukaran’ yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ahmad Fakhruddin juga menegaskan bahawa parti Islam itu tidak menjadikan jalan singkat, pemerdayaan dan tipu muslihat untuk merampas kedudukan.

“PAS juga tidak dayus untuk membiarkan UMNO terus bermaharajalela dengan maksiat dan kemungkaran pemerintahan.

“Sebaliknya PAS mahukan mandat yang kuat daripada rakyat menerusi demokrasi adil mengikut penggal dan tatacaranya di mana PAS komited menentang UMNO dengan menyediakan kekuatan di seluruh negara,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");