Panasnya Hari Ini

Penahanan Lim Guan Eng Untuk Takutkan Pembangkang – Wan Azizah

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa wujud usaha sistematik dan terancang bertujuan menakutkan pembangkang berikutan penangkapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ujarnya, penahanan Guan Eng juga didakwa bertujuan untuk mengganggu pimpinan politik pembangkang sebelum tibanya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“KEADILAN kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membuat penangkapan terhadap Lim Guan Eng petang tadi (semalam) sewaktu mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Beliau sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM. Kami berpendapat tangkapan petang tadi (semalam) adalah tidak perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai seperti Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya,”katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Guan Eng ditahan oleh sepasukan anggota penguatkuasa ke pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown pada jam 6.20 petang dengan menaiki kereta milik kerajaan negeri.

Dalam masa yang sama, Wan Azizah turut mempersoalkan mengapa SPRM masih belum mengambil tindakan terhadap pihak berkaitan yang terlibat dalam skandal kewangan besar seperti 1MDB dan ‘derma’ RM2.6 bilion.

“Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan di sisi undang-udang?”soalnya.

Berikutan itu, Wan Azizah berkata, pihaknya menggesa agar SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme SPRM.

“Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri dr Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");