Laporan Eksklusif

Peringatan Buat Pengundi PRK, Perlu Bijak Buat Keputusan

KUALA LUMPUR: Pengundi yang bakal menjalankan tanggungjawab untuk membuang undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diingatkan supaya bijak menilai dan membuat keputusan.

PRK bagi kedua-dua lokasi kali ini melibatkan Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan berlangsung esok.

Malah PRK kali ini juga melibatkan 32,949 orang pengundi berdaftar di Kuala Kangsar dan 42,836 orang di Sungai Besar.

Oleh itu, penulis ingin menegaskan beberapa perkara yang perlu direnungkan oleh pengundi sebelum membuat keputusan untuk memilih seseorang calon.

Perkara utama, pengundi perlu memastikan calon yang hendak dipilih mampu untuk membawa suara mereka di Dewan Rakyat.

Malah perlu diingatkan, calon yang hendak dipilih adalah untuk Parlimen, bukan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kredibiliti Ahli Parlimen juga berasaskan kemampuan untuk membawa agenda pengundi kawasannnya ke peringkat Kerajaan Pusat yang mempunyai pelbagai jentera seperti Jabatan dan Agensi kerajaan untuk pembangunan negara.

Selain itu bagi menentukan calon yang ingin dipilih perlulah mempunyai sokongan yang kuat dan padu di peringkat Kerajaan Pusat (Persekutuan).

Jika tanpa sokongan ini, Ahli Parlimen umpama sekadar pendengar aduan sahaja, hendak mencatatkan aduan tersebut adalah sukar.

Pengundi juga disaran supaya mengabaikan persengketaan diantara parti politik apabila terdapat beberapa parti politik yang bertindak menjadikan PRK di dua kawasan Parlimen kali ini sebagai medan untuk ‘tunjuk siapa besar’.

Pengundi juga ditegaskan agar tidak terpengaruh dengan retorik yang timbul daripada pertelingkahan ini kerana ia boleh mengakibatkan fenomena ‘menang sorak, kampung tergadai’.

Ingat,anda membuang undi untuk memenuhi harapan dan aspirasi diri sendiri, bukan untuk mengiyakan atau menidakkan dakwaan sesiapa!

Pastikan calon yang hendak dipilih bukan calon ‘parachute’ kerana pada dua PRU yang lepas ada parti politik yang meletakkan calon ‘parachute’.

Malah ada di dalam kalangan mereka yang memperoleh kemenangan tetapi tidak mampu berfungsi dengan baik disebabkan dengan kekangan dan halangan yang hebat.

Sebahagian mereka ini hanyalah penyokong tidak aktif sesuatu parti politik, namun apabila diletakkan sebagai calon dan menang, mereka tidak mendapat sokongan daripada  ahli lain, malahan ada yang diboikot dan disabotaj oleh parti sendiri sehingga langsung tidak dapat berfungsi dan akhirnya pengundi dikawasan tersebut terabai.

Para pengundi disaran supaya berwaspada akan ‘gula-gula’ politik yang ditaburkan ketika tempoh berkempen sebaliknya ada juga jentera parti politik yang akan menjanjikan yang terbaik untuk pengundi.

Tapis segala kenyataan dengan surihan yang paling halus sebelum boleh dipercayai malah anda perlu percaya hanya kepada yang sudah terlaksana, bukan rimbunan tebu yang ditanam di tepi bibir.

Tentukan calon yang hendak dipilih mampu mengekalkan kesinambungan pembangunan yang telah bermula.

Perlu diingat,istilah pembangunan merangkumi sosial, budaya, ekonomi, spiritual dan sebagainya, bukan sekadar infrastruktur semata-mata.

Perkara ini mustahak berikutan ia menjamin kelangsungan anak, cucu-cicit anda kemudian hari.

Perkara yang dipaparkan adalah permukaan sahaja,namun ia boleh dijadikan garis panduan serta peringatan kepada anda sebelum membuang undi.

Adalah molek untuk anda menghela nafas panjang dan merenung sejenak apa yang diperkatakan di sini supaya nasib diri anda dan keturunan anda di P067 (Kuala Kangsar) dan P093 (Sungai Besar) tidak diperjudikan sewenang-wenangnya hanya untuk segelintir masyarakat yang haloba sifatnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");