Berita Hari Ini

Rakyat perlu yakin kemudahan disediakan

Putrajaya: Rakyat perlu yakin dengan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan demi kepentingan kesihatan mereka dan mesti menggalakkan anak-anak untuk menerima perkhidmatan suntikan vaksin atau imunisasi.

Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan Majlis Profesor Negara (MPN) Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin berkata, kelalaian ibu bapa dalam hal penting itu mengakibatkan anak-anak menghadapi masalah kesihatan berbahaya pada masa hadapan.

“Langkah pencegahan awal yang kita ambil sebaiknya akan menyelamatkan mereka. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur kerana kerajaan mengambil berat mengenai kesihatan rakyatnya.

“Dasar suntikan vaksin atau imunisasi yang dibentuk sudah mengambil kira faktor tentang pesakit kepada penyakit itu, daya imunisasi, kemampuan pesakit untuk menerima ubatan dan keadaan kesihatan mereka pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Dr Mohd Amin berkata, berdasarkan pandangan global, walaupun terdapat segelintir pejuang kemanusiaan merujuk kepada kes penyakit yang berlaku kepada pesakit selepas mendapat suntikan vaksin atau imunisasi, ia sebenarnya kes terpencil.

Malah, katanya, ia juga mungkin disebabkan oleh penyakit yang sedia ada pada pesakit dan bukannya disebabkan suntikan vaksin atau imunisasi.

“Sehubungan itu, MPN menyeru semua rakyat supaya bersama-sama menggunakan kepakaran dalam negara dari segi promosi kesihatan, kemudahan kesihatan bertaraf dunia dan kesediaan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membincang dan mengkaji penggunaan vaksin kepada orang Islam,” katanya.

Beliau berkata, penyakit seperti jangkitan kuman difteria dan batuk kering boleh merebak dan menjangkiti seseorang yang tidak menjalani perkhidmatan suntikan vaksin atau imunisasi dengan sempurna.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");