Berita Hari Ini

RM1.3j sagu hati buat nelayan

PONTIAN – Seramai 646 nelayan Dun Kukup di sini menerima wang tunai sebanyak RM1.3 juta sebagai sagu hati setelah mata pencarian mereka terjejas akibat pembangunan kawasan pesisir pantai di negeri ini.

Adun Kukup, Suhaimi Salleh berkata, setiap seorang menerima RM2,000 dan sagu hati itu diberikan daripada kerajaan negeri melalui Tabung Yayasan Nelayan Johor.

“Pemberian sagu hati inisiatif kerajaan negeri ini jalan terbaik bagi meringankan beban golongan nelayan.

“Kerugian dialami nelayan berbeza-beza namun kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka. Bantuan sentiasa diberikan termasuk sagu hati sejak tahun lepas,” katanya dalam majlis Penyerahan Sagu hati Nelayan Johor Selatan di Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pontian, Onn Jaabar@Jaafar; Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor, Lokman Ahmad, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Azli Mohd Aziz.

Suhaimi berkata, masyarakat nelayan amat bersyukur dengan pemberian sagu hati itu, apatah lagi diterima ketika hampir Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, bagi nelayan Tahir Abdullah, 62, berkata, dia akan gunakan wang sagu hati itu untuk membeli jaring baharu bagi menggantikan jaring lama yang telah rosak.

“Pendapatan menangkap ikan dan udang tidak udang kadang-kala dapat RM700 sebulan. Syukur pemberian sagu hati ini dapat meringankan beban dan digunakan untuk sambutan hari raya bersama 12 orang anak dan lapan cucu yang akan pulang ke kampung,” katanya.

Dia yang baharu pertama kali menerima sagu hati tersebut memberitahu sudah 20 tahun menjadi nelayan pantai di kawasan Penerok.

“Memang banyak perbezaan keadaan laut dahulu dengan sekarang. Lima tahun dahulu senang nelayan cari makan kerana tiada projek pembangunan di kawasan pesisir pantai.

“Tetapi sekarang keadaan jauh berbeza, nelayan terpaksa bergelut setiap hari untuk mencari kawasan bagi menangkap ikan kerana kawasan sedia ada semakin kecil dan terjejas dengan projek pembangunan,” katanya.

Bagi Ahmad Ibrahim, 51, pula berharap bantuan sagu hati yang diberikan dapat diteruskan kerana manfaat cukup besar diterima golongan nelayan.

Dia yang mengalami masalah kesihatan darah tinggi, kencing manis dan penglihatan kabur berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian sagu hati itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");