Jenayah

Suspek pecah rumah ditahan Lebuhraya KL-Seremban

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang suspek yang terlibat dalam beberapa kes pecah rumah setelah mengejar mereka di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sini, pagi ini.

Rakan suspek yang turut dipercayai terlibat dalam kes tersebut, bagaimanapun berjaya melepaskan diri.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata tangkapan ke atas suspek berusia 42 tahun yang mempunyai 15 rekod jenayah lampau termasuk kekerasan itu, dijangka dapat menyelesaikan 14 kes pecah rumah sekitar Brickfield dan Kuala Lumpur.

“Daripada 15 kesalahan itu, ada sekurang-kurangnya dua kes beliau masih dikehendaki berhubung samun dan juga narkotik,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta Volkswagen Passat memandu dengan bahaya apabila menyedari kehadiran dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Taman OUG, di sini.

Sharul berkata suspek kemudian memecut ke pusat bandar melalui Lebuhraya Kesas dan Seremban, dan turut menghimpit motosikal dinaiki dua anggota polis itu, selain melanggar beberapa kenderaan awam.

“Anggota polis melepaskan lapan das tembakan dalam cubaan menghentikan kenderaan suspek, dan dua das mengenai tayar kanan sebelah hadapan kereta dan satu lagi di pintu belakang sebelah pemandu.

“Mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan selepas kedua-dua tayar kanan di bahagian belakang dan depan pancit,” katanya.

Selepas terbabas, Sharul berkata anggota polis berkenaan berjaya menahan salah seorang suspek selepas berlaku pergelutan, namun seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Suspek yang melarikan diri masih dikesan. Saya bangga dengan kecekapan dua-dua anggota polis itu yang berjaya mengejar suspek walaupun hanya menunggang motosikal,” katanya.

Ekoran aksi kejar-mengejar itu, beliau berkata salah seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan di kaki selepas terjatuh daripada motosikal, bagaimanapun tiada kecederaan orang awam dilaporkan.

Beliau berkata siasatan ke atas kereta suspek mendapati mereka menggunakan nombor plat palsu dan merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang pada 10 Jun lepas.

“Kita juga menjumpai peralatan untuk pecah rumah serta beberapa barang lain seperti komputer riba dan iPad dipercayai daripada aktiviti samun,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");