Sukan Hari Ini

Aksi tentang Selangor penting bantu Felda United

FAKTOR kepenatan bukan alasan buat Felda United mencari kemenangan apabila menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Selasa ini dalam misi terus menyaingi pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun mengakui pemainnya menunjukkan tanda kepenatan ketika menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi, jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim berkata kemenangan tetap agenda utama mereka Selasa ini untuk mengintai peluang memiliki kejuaraan liga.

“Walaupun terpaksa beraksi dengan jadual yang padat iaitu satu perlawanan setiap tiga hari, kami mempunyai misi untuk memburu kejuaraan liga.

“Pada saya, kami tetap akan mengejar JDT tetapi buat masa ini kami perlu fokus untuk menentang Selangor,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Felda United berjaya mengutip tiga mata menerusi jaringan Lutfulla Turaev pada minit ke-34 dan Francis Forkey Doe pada minit ke-60 manakala gol PDRM dijaringkan Konate Souleymane pada minit ke-75.

Felda United menduduki tempat kedua liga dengan 34 mata, dua mata di belakang JDT, selepas masing-masing mengharungi 14 perlawanan.

Mengulas perlawanan menentang PDRM, beliau berkata jadual perlawanan yang padat adalah antara faktor menyebabkan pasukan kendaliannya menang tipis ke atas lawan.

Katanya beliau sentiasa mengingatkan anak buahnya untuk menggunakan waktu rehat yang ada dengan baik bagi mempersiapkan diri menghadapi setiap perlawanan yang telah dijadualkan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad The Cops Mohd Fauzi Pilus berkata kekalahan mereka adalah berikutan aksi tidak konsisten yang ditunjukkan anak buahnya pada separuh masa pertama sehingga menjejaskan peluang mereka menjaringkan lebih banyak gol.

“Pemain tidak cukup berdisiplin pada babak pertama sehingga kami kalah walaupun mendapat banyak peluang untuk menghasilkan gol,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");