Membawang Hari Ini

Artis AF gamat suasana

Kehadiran beberapa bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut, Sabah, baru-baru ini menarik lebih 3,000 penduduk untuk hadir.

Majlis anjuran Astro Kasih itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan beberapa pemimpin setempat.

Antara artis AF yang membuat persembahan ialah Mawi, Marsha, Mila, Ayda Jebat, Haziq dan Azhael. Turut membuat persembahan ialah Nash dan program diacarakan pelakon popular Fahrin Ahmad.

Persembahan dimulakan dengan lagu pembukaan semua artis membawa lagu Seloka Hari Raya yang dipopularkan Hail Amir dan Uji Rashid sejurus selepas majlis pelancaran disem­purnakan Anifah.

Sejurus selepas itu, Azhael mengambil tempat dengan membawakan tiga lagu antaranya Suasana Hari Raya diikuti single mereka berjudul Hujung Waktu.

Azhael berjaya menarik penonton apabila meng­hiburkan orang ramai dengan lagu tempatan Sabah yang bertajuk Anak Kampung nyanyian asal Jimmy Palikat.

Nash kemudian meneruskan persembahan dengan membawa empat lagu antaranya Menjelang Hari Raya, Ku Di Halaman Rindu dan Tiada Lagi Kidungmu sebelum mengakhiri per­sembahan dengan lagu Pada Syurga di Wajahmu.

Penonton yang hadir terus digamatkan dengan ke­munculan bekas pelajar AF9, Ayda Jebat yang me­nyanyikan lagu popularnya iaitu Siapa Diriku dan Pencuri Hati.

Sejurus selepas itu, Haziq, juara AF5 Mila dan Marsha terus menghangatkan majlis dengan beberapa lagu popular mereka.

Juara AF3 , Asmawi Ani atau Mawi menutup persembahan dengan tiga lagu iaitu Kian, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Selamat Hari Raya nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Sementara itu, Ayda ketika ditemui berkata, dia berpuas hati dengan sambutan yang diberikan peminat yang hadir pada majlis itu.

Katanya, peminat di sana sentiasa memberi sokongan padu kepada penyanyi yang hadir pada setiap per­sembahan dilakukan.

“Ia memang meriah, tidak rugi membuat persembahan di Sabah kerana semua yang hadir memberi reaksi yang positif,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");