Sukan Hari Ini

Atikah ‘lawan besi’ untuk raih dua emas

“BESI itu umpama lawan saya yang perlu ditundukkan setiap kali saya berada di pentas pertandingan,” kata Nur Atikah Mahamad Sobri.

Prinsip itulah yang dipegang pelajar tingkatan tiga Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang memenangi dua pingat emas acara angkat berat 63 kilogram Sukan Malaysia (Sukma) bagi kategori snatch dan clean & jerk hari ini.

“Saya sukakan saingan, jadi saya suka melawan. Saya sukakan cabaran,” kata atlet yang mewakili Wilayah Persekutuan itu selepas cemerlang di Dewan Jubli Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak di Kota Samarahan, di sini.

Beliau berjaya membuat angkatan seberat 78 kilogram dalam kategori snatch manakala untuk clean & jerk pula, membuat angkatan 95kg.

Bagaimanapun beliau gagal dalam usahanya memperbaharui rekod Sukma dalam kedua-dua kategori itu.

“Saya sedikit kecewa sebab tidak berjaya pecahkan rekod Sukma. Saya memang sasar untuk pecahkan rekod itu sebab rekod itu sudah lama. Semasa latihan, saya pernah angkat 102kg untuk clean & jerk dan 82kg dalam snatch,” kata Nur Atikah, yang meminati bidang sukan sejak kecil.

Rekod Sukma untuk acara 63kg wanita iaitu 81kg (snatch) dan 101kg (clean & jerk) dipegang atlet Kedah, Nurul Farhanah Johari yang dicatat semasa edisi 2010 di Melaka.

Menurut Nur Atikah, beliau mula menceburkan diri dalam sukan angkat berat sejak tiga tahun lepas.

Kejayaan meraih dua emas itu lebih manis kerana turut disaksikan ibunya, Che Rohani Che Mat, 49, yang datang memberikan sokongan kepada anak bongsunya itu.

Menurut ibunya, Nur Atikah sejak dari sekolah rendah lagi sudah meminati bidang sukan.

“Dia tidak suka duduk diam di rumah. Kalau ada acara sukan dia mesti mahu ikut. Macam-macam jenis sukan dia libatkan diri, baik olahraga, bola baling, bola tampar dan macam-macam lagi,” katanya. –Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");