Isu Panas

Azmin nyatakan solidariti terhadap Guan Eng

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan solidariti terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang kelmarin.

Menerusi kenyataan media, Mohamed Azmin menegaskan keyakinan penuh terhadap pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang.

Menurutnya, setelah mendengar berita tersebut, beliau sempat bercakap melalui telefon dengan Guan Eng, sebelum ditahan pihak berkuasa.

“Saya nyatakan, saya teguh di belakangnya pada masa yang sangat menguji ini. Beliau kini dianiaya penguasa yang bersungguh-sungguh mahu memperlekehkan dirinya dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, walaupun penahanan Guan Eng dilakukan dengan kehadiran peguam, tindakan demikian sekali lagi menimbulkan keraguan terhadap keadilan dalam proses siasatan serta objektiviti Peguam Negara dalam mengarahkan tindakan.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, perhatian luar biasa dan tindakan pantas dalam kes Guan Eng ini berbeza sama sekali dengan tindakan yang telah diambil setakat ini terhadap lambakan laporan terhadap perdana menteri.

“Kita perlu sedar tindakan kerajaan ini tidak lain dan tidak bukan sebahagian daripada konspirasi berterusan untuk memburuk-burukkan Guan Eng dan ahli politik pembangkang Persekutuan yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng bersama isterinya Betty Chew dipanggil ke pejabat SPRM negeri untuk memberi keterangan berhubung pembelian banglonya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");