Membawang Hari Ini

Beri peluang diri sendiri

Sedar tak sedar, hampir lapan tahun penyanyi, Erul Samah bergelar anak seni. Dalam perjalanan kariernya, dia melihat sendiri pelbagai cabaran dan pernah timbul rasa kecewa untuk meneruskan langkah.

Lebih parah lagi, tahun lalu selepas kehilangan bapa tercinta, hidupnya semakin terumbang-ambing, namun semangatnya semakin kuat selepas mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan.

“Tipu kalau saya mengatakan tidak pernah timbul rasa kecewa apabila kerjaya saya tidak menjadi. Tahun lalu tahun paling sukar buat saya. Selepas bapa meninggal, saya rasa seperti hilang seseorang yang menjadi penguat dalam hidup saya.

“Pernah satu ketika, terdetik dalam hati saya untuk berhenti daripada bergelar penyanyi dan mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai. Namun, niat saya itu terbatal apabila rakan dan keluarga terutamanya, sentiasa memberikan sokongan,” katanya.

Menurutnya, awal tahun ini, dia hadir dengan single baru berjudul Lebih Dari Kata, namun tidak mendapat perhatian.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak. Mungkin ada yang tidak kena dengan promosi untuk lagu itu tetapi saya mengambilnya untuk pengajaran sebagai anak seni.

“Kini, saya bergerak sendiri dan banyak lagi yang perlu belajar dalam selok-belok industri. Lebih Dari Kata lagu bergenre Indo-pop dan rasanya, sesuai dengan minat pendengar tempatan,” katanya.

Untuk single kelima ini, Erul atau nama sebenarnya Khairul Najmuddin Abu Samah ingin memberikan sepenuh perhatian supaya berjaya mencuri hati peminat.

Erul juga meluahkan rasa syukur apabila kerap menerima undangan untuk membuat persembahan untuk acara tertutup.

“Ramai klien yang memberikan respons positif. Kata mereka, nyanyian saya sudah semakin baik dan itu sedikit sebanyak menjadi motivasi buat saya untuk terus bekerja keras,” katanya.

Sekiranya percubaannya kali ini tidak menjadi, tidak mustahil Erul meneruskan perjalanannya sebagai pelakon dan pengacara.

“Saya beri peluang sekali lagi kepada diri sendiri. Kalau percubaan kali ini juga tidak menjadi, saya akan fokus kepada lakonan dan pengacaraan. Alhamdulillah, baru-baru ini saya mula menerima beberapa tawaran untuk berlakon dan mengacara. Insya-Allah Ogos ini saya akan mula menjalani penggambaran untuk program travelog di beberapa negara antaranya Australia dan Thailand,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");